Perlis cadang jadikan 2023 sebagai Tahun Melawat Perlis

Bernama
Julai 17, 2022 04:30 MYT
Perkhidmatan Tren Shuttle Khas SRT (Thailand) beroperasi semula bagi Laluan Padang Besar-Hatyai selepas dua tahun ditutup akibat pandemik COVID-19, Padang Besar, 17 Julai 2022. --fotoBERNAMA
HATYAI: Perlis bercadang menjadikan 2023 Tahun Melawat Perlis sebagai antara usaha merancakkan kembali industri pelancongan di negeri itu.
Exco Pelancongan Perlis Asmaiza Ahmad berkata perkara itu masih di peringkat cadangan dan akan dibawa ke mesyuarat exco kerajaan negeri dalam masa terdekat.
"Jika dipersetujui, ia bakal memberi impak positif kepada ekonomi terutama dalam industri pelancongan di negeri ini," katanya kepada Bernama semalam.
Beliau bersama media dan delegasi kerajaan negeri menaiki tren ulang-alik Padang Besar-Hatyai bagi lawatan kerja sehari ke Hatyai untuk melihat potensi bagi menarik kemasukan pelancong dari Thailand ke Perlis.
Ahli Dewan Undangan Negeri Chuping itu berkata pihaknya bercadang melancarkan Tahun Melawat Perlis 2023 di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Padang Besar.
"Kita akan buat perbincangan dengan semua pihak nanti bagi memastikan bahawa ia berjalan lancar dan mampu memberi impak kepada negeri Perlis," katanya.
Mengulas lawatan semalam, Asmaiza berkata beberapa inisiatif perlu dilakukan oleh semua pihak bagi menarik pelancong dari Hatyai untuk menginap sekurang-kurangnya semalam di Perlis.
Beliau berkata kerajaan negeri bersama agensi berkaitan bercadang meletakkan risalah mengenai lokasi menarik bagi 'memancing' pelancong luar bermalam di Perlis.
Katanya untuk pelan jangka panjang, kerajaan negeri juga bercadang membangunkan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Padang Besar dan kawasan sekitarnya yang dijangka memakan masa kerana melibatkan banyak pihak.
Asmaiza berkata menjelang 2030, kerajaan negeri bercadang memperkenal Pembangunan Berorientasikan Transit di Padang Besar dalam usaha menaik taraf infrastruktur pengangkutan awam di Perlis pada masa akan datang.
-- BERNAMA
#Tahun Melawat Perlis #Perlis #Asmaiza Ahmad #industri pelancongan negeri
;