Perlindungan data peribadi, literasi digital, akses 5G diberi keutamaan - Teo Nie Ching

Fareez Azman
Disember 12, 2022 17:02 MYT
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching ketika sidang media selepas memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tiga agenda utama iaitu perlindungan data peribadi, literasi digital, dan akses perkhidmatan 5G kepada rakyat menjadi keutamaan ketika ini, jelas Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Memulakan tugas secara rasminya hari ini, beliau menjelaskan terdapat keperluan terdesak untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat terutama ketika trend penggunaan media sosial meningkat ketika ini.
"Literasi digital penting untuk memastikan pengguna tidak kena 'scam' atau dipengaruhi berita palsu dan menghentikan hantaran berbaur kebencian bagi mewujudkan suasana harmoni," katanya dalam sidang media selepas mengimbas kad perakam di Kementerian Komunikasi dan Digital di Putrajaya pada Isnin.
Malah ujarnya, purata trend penggunaan internet dalam kalangan rakyat ketika ini meningkat melebihi tiga jam.
Dari sudut akses perkhidmatan 5G pula, jelas Nie Ching, ia akan dijadikan teras utama kerana akses internet merupakan keperluan asas bagi rakyat.
Selain itu, katanya, perlindungan data peribadi juga akan ditambah baik bagi memastikan pengguna berasa selamat ketika menggunakan internet.
Ketibaan Nie Ching disambut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital), Ma. Sivenasan.
#Teo Nie Ching #Kementerian Komunikasi dan Digital #literasi digital #Perlindungan data peribadi
;