Perletakan jawatan CEO MRT Corp tidak wajar - undian

Astro Awani
Ogos 20, 2014 09:54 MYT
Azhar pada Selasa mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp.
Ramai berpendapat bahawa perletakan jawatan oleh Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp sebagai satu tindakan tidak wajar, menurut satu undian yang dijalankan AstroAwani.com.
Hasil undian mendapati hanya 43 peratus yang menyokong tindakan Azhar.
Berita ini turut mendapat pelbagai reaksi di Facebook Astro AWANI.
Secara amnya, mereka berpendapat Azhar harus menunggu sehingga siasatan selesai sebelum melepaskan jawatan beliau.
“Buat apa letak jawatan? Ini macam ada masalah dalaman dan kurang rasa bertanggungjawab. Tunggu siasatan selesai baru buat keputusan,” tulis Mohamad Haji Daud.
Mohd Faiz pula menulis, “Memang tidak layak menjadi CEO. Kalau hendak letak jawatan, tunggu lepas habis siasatan baru letak jawatan.”
“Pegawai keselamatan tak letak jawatan sekali ke,” tanya Asri Salleh Hassan.
Manakala Aaron Rashyim pula mempunyai pendapat yang berbeza.
“Patut dipuji dan perlu dicontohi oleh semua pemimpin,” tulis beliau.
Susulan kemalangan di tapak pembinaan yang meragut tiga nyawa, Azhar pada Selasa mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp.
Azhar dalam satu kenyataan rasmi berkata ia selari dengan pendirian MRT Corp yang memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian tiga pekerjanya.
"Sebagai ketua MRT Corp, saya mengambil tanggungjawab peribadi dan ini adalah perkara yang seharusnya dilakukan. Saya telah memaklumkan kepada Pengerusi MRT Corp, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengenai keputusan saya itu," katanya.
#Datuk Wira Azhar Abdul Hamid #MRT #undian
;