Perlembagaan PKR tidak boleh statik selamanya - Saifuddin
Umavathi Ramayah
Disember 15, 2024 12:07 MYT
Disember 15, 2024 12:07 MYT
SHAH ALAM: Beberapa lagi pindaan signifikan Perlembagaan PKR bakal diputuskan dalam Kongres Khas parti itu yang berlangsung pada Ahad.
Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam hantaran di Facebook berkata, pindaan perlembagaan parti kali ini akan menterjemahkan amalan kepelbagaian gender, etnik dan umur berteraskan prinsip participatory dan proportionate representative.
"Perlembagaan parti sesungguhnya suatu yang dinamik. Perlembagaan parti tidak boleh selamanya statik.
“Parti mesti responsif terhadap perubahan iklim politik negara," katanya pada Ahad.
Menurut Saifuddin, sejak penubuhan PKR 25 tahun lalu, perlembagaan parti itu pernah dipinda beberapa kali.
Antara tiga yang paling signifikan katanya, adalah penukaran nama parti, penggabungan dengan parti lain dan sistem pengundian pemilihan kepemimpinan.
"Tukar nama parti kepada KEADILAN daripada nama asal Parti Ikatan, menggabungkan KEADILAN dengan Parti Sosialis Rakyat, pindaan untuk pelaksanaan one man one vote dalam pemilihan parti," katanya lagi.
Pindaan yang diputuskan pada Ahad bakal memberi hak kepada anggota parti untuk mengundi pemimpin pada sesi pemilihan akan datang bagi memastikan kredibiliti proses memilih pemimpin parti.
Selain itu, Kongres Nasional PKR 2024 yang ditangguhkan susulan banjir di beberapa negeri dijangka diadakan di Johor selewat-lewatnya suku pertama tahun depan.