Perlawanan Muay Thai berkelas dunia secara percuma di AKM Kelantan
Bernama
Julai 22, 2022 12:31 MYT
Julai 22, 2022 12:31 MYT
KOTA BHARU: Peminat sukan Muay Thai di Kelantan bakal menyaksikan pertarungan berkelas dunia apabila 16 atlet daripada lima negara beraksi pada Perlawanan Muay Thai Antarabangsa sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV, 8 malam esok.
Presiden Persekutuan Muay Thai Professional Malaysia (MFMP) Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata tiada bayaran dikenakan untuk orang ramai datang menyaksikan perlawanan tersebut.
"16 'anak Muay Thai' dari Thailand, Malaysia, Algeria, Afghanistan dan Myanmar akan beraksi esok.
"Petinju Thailand dan Myanmar pula akan bertarung bagi merebut tali pinggang Penasihat MFMP merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa," katanya kepada Bernama hari ini.
Jelajah AKM Kelantan bermula hari ini hingga Ahad bakal memanfaatkan Keluarga Malaysia di Kelantan dengan pelbagai program rakyat dan digitalisasi selaras dengan hasrat kerajaan dalam usaha memantapkan pendigitalan negara.
-- BERNAMA