'Perlahan-lahan kita hunus keris ke hati sendiri' - Syed Saddiq

Firdaus Azil
Oktober 28, 2018 19:43 MYT
Menurut Saddiq, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan ungkapan itu, kerana kaum Melayu dilihat lebih gemar mengambil jalan yang mudah dan pintas dan tidak berani keluar dari zon selesa. - Gambar fail
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menganggap kalimah ‘Ketuanan Melayu’ di bumi Malaysia ini tidak lebih dari sekadar frasa kosong semata-mata.
Dalam catatan terbaharu di Facebook rasminya hari ini, Ahli Parlimen Muar itu berkata, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan ungkapan itu, kerana kaum Melayu dilihat lebih gemar mengambil jalan yang mudah dan pintas dan tidak berani keluar dari zon selesa.
“Lihat sahaja pada hari ini, sejarah bakal berulang kerana kita suka mengambil jalan yang mudah dan pintas dan tidak berani keluar dari zon selesa. Dari pekerja di kilang sampailah ke chef di restoran mewah, pekerja asing juga yang dicari, sambil bangsa kita masih menunggu dan mengharapkan tawaran kerja yang selesa berhawa dingin yang belum kunjung tiba.
“Memang indah untuk kita dibuai mimpi "Ketuanan", tetapi realitinya ternyata berbeza. Memang popular apabila kita laungkan "Hidup Melayu", tetapi laungan itu kosong apabila berpijak di bumi yang nyata. Sambil kita menjulang keris dengan bangganya, perlahan-lahan kita sedang menghunusnya ke hati kita sendiri tanpa kita sedari,” katanya lagi.
Namun, Menteri Belia dan Sukan itu berkata lanjut, ia tidak akan sesekali mematahkan semangat beliau untuk terus memperjuangkan nasib kaum itu di negara ini.
“Saya nak pastikan generasi masa hadapan dapat menikmati pembangunan negara secara adil dan saksama. Bukan setakat retorik bahasa atau omong kosong tidak bermakna. Saya nak pastikan kualiti hidup mereka jauh lebih baik daripada kita pada hari ini.
“Nasib kita di tangan kita sendiri. Tak perlu untuk ungkit "ketuanan" melalui slogan dan syarahan. Kita "tuan" kalau berani berubah, berani menghadap risiko, menjalankan kerja dengan amanah dan sentiasa menguasai semua ilmu sampai tidak perlu bergantung kepada sesiapa pun lagi,” katanya lagi.
#Facebook #ketuanan Melayu #Melayu #menteri #Parlimen #PPBM #sukan #Syed Saddiq
;