Perkukuh STEM dan TVET, lahir lebih ramai pemimpin dalam kalangan warga teknikal
Madiha Abdullah
Disember 5, 2020 11:27 MYT
Disember 5, 2020 11:27 MYT
KUALA LUMPUR: Usaha memajukan profesion berasaskan teknikal dan kejuruteraan perlu diperkukuh dan dimulakan di peringkat awal pendidikan.
Justeru, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sentiasa memberi fokus dalam memastikan kualiti lulusan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berada di tahap tertinggi.
"Para pelajar perlu digalakkan untuk menjadikan bidang ini sebagai pilihan kerjaya mereka di masa depan bukan sahaja demi memenuhi keperluan perindustrian negara tetapi juga untuk melahirkan golongan profesion berdaya maju.
"Ini selari perkembangan global terutama ketika ledakan global Revolusi Perindustrian 4.0, peluang pekerjaan berkaitan jurusan STEM dan TVET amat cerah dan tidah harus dilepaskan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam amanatnya sempena sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2020, hari ini.
Minat generasi baharu dalam bidang teknikal terutamanya kejuruteraan perlu dipupuk, sekaligus membuang persepsi negatif yang melingkarinya.
"Istilah 3D yang merujuk kepada dirty, dangerous, difficult sering mempengaruhi anak muda dalam membuat pilihan kerjaya.
"Minat generasi baharu dalam bidang ini perlu terus dipupuk. Trend masa depan menunjukkan bidang berkaitan teknologi akan menjadi profesion berpermintaan tinggi.
"Penggunaan teknologi tinggi juga akan mengubah imej 3D kepada imej berprestij kerana profesion teknikal menuntut kesarjanaan ilmu dan kepakaran yang mendalam," tambah beliau.
Kewujudan banyak syarikat berasas teknologi bertaraf dunia seperti Petronas, UEM, Maxis dan banyak lagi, menjadi bukti perancangan teliti kerajaan selama berdekad lamanya.
Malah sektor awam juga boleh berbangga dengan organisasi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) yang banyak menyumbangkan jasa pada pembangunan infrastruktur negara.
Kerajaan kata beliau, mempunyai aspirasi agar lebih ramai pemimpin dapat dilahirkan dalam kalangan profesion teknikal, selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
"Kerajaan berhasrat mahu melahirkan lebih ramai pembuat dasar dan pemimpin dalam kalangan warga profesion teknikal supaya hala tuju negara selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
"Di samping itu, agensi dan syarikat strategik negara berasas teknologi perlu diterajui oleh mereka dalam kalangan profesional teknikal, selaras tema Hari Profesion Teknikal Negara tahun ini, Masa Depan Adalah Kita," katanya.
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Sains
#pendidikan
#Matematik
#teknologi
#kejuruteraan
#TVET
#STEM
#teknikal
#pelajar
#kerajaan
#Hari Profesion Teknikal Negara
#3D
#pekerjaan