Perkukuh penyampaian maklumat peringkat akar umbi atasi persepsi negatif pengurusan pandemik
Hasimi Muhamad
Julai 26, 2021 22:07 MYT
Julai 26, 2021 22:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dinasihatkan supaya memperkukuhkan penyampaian maklumat di peringkat akar umbi bagi meningkatkan keyakinan rakyat terutama dalam pengurusan pandemik.
Pendapat itu disuarakan oleh penganalisis politik, Chandra Muzaffar terutama ke arah mengukuhkan kefahaman mengenai usaha vaksinasi.
Mengambil contoh perolehan vaksin, Chandra berkata masalah utama yang dihadapi adalah kerana tindakan segelintir negara maju yang membolot vaksin.
"Oleh kerana kita tidak memberi penjelasan pada peringkat awal, rakyat tak faham dan fikir ini kerana kerajaan... kerajaan terima vaksin dan dia simpan, tak mahu mengedarkan atau lambat buat pesanan.
"Walhal tak betul kerana kita buat tempahan pada masa negara-negara lain buat tempahan.
"Tetapi masalahnya kita menjadi mangsa pada sistem pembekalan dan pengedaran yang tidak adil. Ini harus difahami tetapi kita gagal memberi penjelasan," katanya kepada dalam temu bual secara maya mengenai Pelan Pemulihan Negara, pada Ahad.
Chandra menambah pelbagai diskriminasi turut diwujudkan oleh pihak-pihak tertentu termasuk membandingkan keberkesanan jenis vaksin.
Malah, lebih membimbangkan apabila wujud dakwaan vaksin dicampur racun, tambahnya.
Justeru, Chandra berkata segala persoalan dan keraguan yang dibangkitkan perlu ditangani secara sistematik dan saintifik.
"Kita harus berpegang pada sains kerana sains itu berakar umbi dalam falsafah kita, tak kira agama kita.
"Kita terima sains kerana soal bukti, eksperimen dan sebagainya. Adakalanya kita ubah fikiran kita berdasarkan sains, sekiranya beberapa tahun (kemudian) ada faktor baharu yang kita temukan," katanya.
#COVID-19
#Dr Chandra Muzaffar
#Kelemahan komunikasi
#Vaksinasi rakyat
#PPN
#Pelan Pemulihan Negara
#dakwaan
#penyampaian maklumat
#vaksinasi