Perkukuh kerjasama bidang keselamatan mesej utama Malaysia di GPSCFL - Ahmad Zahid
Bernama
September 8, 2024 06:30 MYT
September 8, 2024 06:30 MYT
SHANGHAI: Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama erat dengan negara luar melalui perkongsian kepakaran dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata sebagai negara yang menjunjung prinsip keamanan dan kestabilan, Malaysia komited untuk terus menyumbang kepada inisiatif keselamatan global di pentas antarabangsa termasuk pada Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu, China yang akan berlangsung hari ini.
"Insya-Allah, saya akan menyampaikan ucapan dalam forum ini bagi menggariskan peranan Malaysia dalam memperkukuh keamanaan dunia dan menentang sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan global," katanya dalam hantaran Facebook beliau malam tadi.
Terdahulu, beliau mempengerusikan sesi pre-council bersama delegasi Malaysia sebagai persiapan menyertai GPSCFL 2024 dan perbincangan pada sesi itu bertujuan memastikan penyampaian mesej negara dalam sidang itu dapat menzahirkan komitmen dalam memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lianyungang Huaguoshan di sini pada 4.40 petang waktu tempatan bagi memulakan lawatan kerja lima hari hingga 12 Sept, termasuk menghadiri forum itu.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri ke GPSCFL 2024 adalah atas jemputan bersama Pengerusi GPSCFL Tsang Wai-Hung dan Presiden Persatuan Persahabatan China Chen Zinmin.
Persidangan bertemakan Win-win Cooperation Under Significant Changes: Building A Global Community of Common Public Security akan melihatkan pemimpin antarabangsa berkumpul untuk menangani masalah keselamatan. Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
-- BERNAMA