Perkukuh hubungan bilateral melalui kerjasama penyelidikan dan pendidikan - PM
Harits Asyraf Hasnan
November 18, 2024 09:20 MYT
November 18, 2024 09:20 MYT
RIO DE JANEIRO: Kebergantungan sepenuhnya kepada negara atau universiti terkemuka tertentu untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dilihat semakin tidak relevan.
Itu yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpendapat, perkara itu semakin lapuk dalam lanskap global yang dinamik masa kini.
Perkara berkenaan antara topik yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva pada Ahad.
“Kami turut bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan dari segi
pendidikan.
“Hal ini kerana pemikiran lapuk yang menganggap terlalu bergantung kepada negara dan universiti tertentu, saya rasa, bukan lagi relevan, terutama sekali dengan kehendak dan perkembangan semasa," katanya ketika menghadiri sambutan penerokaan minyak daripada kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Yinson Holdings Bhd Malaysia, di sini, pada Ahad.
Justeru, Anwar berkata, kementerian berkaitan termasuk pendidikan tinggi, kini perlu melihat kemungkinan untuk menjalin kerjasama antara universiti serta dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.
“Ini bermaksud kita akan ada banyak lagi hubungan, komunikasi dan kerjasama,” kata Anwar yang berada di sini seiring lawatan rasmi dan menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Perdana Menteri turut berpandangan, usaha ke arah memupuk Negara Selatan, berpusat dan berkecuali juga harus merangkumi pendidikan.
Pada majlis sama, beliau turut mengundang komuniti perniagaan untuk melabur di Malaysia.