Perkongsian strategik komprehensif pacu pertumbuhan perdagangan Malaysia-India
Bernama
September 15, 2024 23:10 MYT
September 15, 2024 23:10 MYT
KUALA LUMPUR: India yakin bahawa Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang baharu dipertingkatkan dengan Malaysia akan mendorong perdagangan dua hala ke tahap yang lebih tinggi dengan sasaran US$25 bilion menjelang 2026, kata Menteri Hal Ehwal Luar India, Kirti Vardhan Singh.
Menteri itu, yang dalam lawatan sulungnya ke Malaysia dari 12 hingga 15 Sept, menyuarakan keyakinan mengenai kerjasama kukuh antara kedua-dua negara.
"Dengan lebih US$20 bilion dalam perdagangan tahunan, India dan Malaysia sedang berusaha untuk meningkatkan angka ini kepada US$25 bilion menjelang 2026," katanya dalam ucapannya semasa majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh Majlis Perniagaan Malaysia-India (MIBC) dan Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM) di sini pada Sabtu (14 Sept).
"Dengan sinergi yang saya lihat antara CIIM dan MIBC, saya yakin kita bukan sahaja akan mencapai tetapi melebihi sasaran ini sebelum waktunya," katanya.
Turut hadir ialah Presiden MIBC Tan Sri Kuna Sittampalam, Pengerusi CIIM Datuk Umang Sharma, dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasminya ke India dari 19 hingga 21 Ogos mengumumkan bahawa Malaysia dan India bersetuju untuk meningkatkan hubungan mereka daripada Perkongsian Strategik Dipertingkatkan (ESP) kepada CSP.
Malaysia kini merupakan rakan dagang ketiga terbesar India di rantau ASEAN dan berada dalam kalangan 10 rakan dagang utama India.
Kirti Vardhan Singh, yang juga Menteri Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim India menekankan kepentingan sektor utama seperti barangan kejuruteraan, farmaseutikal, bahan kimia dan telefon mudah alih dalam perdagangan dua hala.
"India juga merupakan pasaran terbesar untuk minyak sawit Malaysia dan antara pembekal makanan terbesar kepada Malaysia. Kami akan terus berusaha ke arah keselamatan makanan yang lebih baik untuk kedua-dua negara," katanya.
Sementara itu, perjanjian baru-baru ini yang membenarkan penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan - rupee India dan ringgit Malaysia - akan menggalakkan lagi perdagangan dua hala, katanya.
Menteri itu menegaskan bahawa kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi dan usaha pembangunan ekonomi India menawarkan peluang besar untuk perniagaan Malaysia.
"India mencatatkan kadar pertumbuhan 8.2 peratus untuk 2023-2024, dan kami kekal sebagai ekonomi utama yang paling berkembang pesat di dunia, menawarkan peluang yang besar untuk perniagaan Malaysia," katanya.
Beliau memuji penyertaan Malaysia dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan tenaga suria India serta sumbangannya kepada pembangunan infrastruktur, selain kepakaran Malaysia dalam industri semikonduktor.
"Pengalaman Malaysia dalam fabrikasi, pengujian dan pemasangan semikonduktor amat bernilai kepada India, terutamanya di bawah Misi Semikonduktor Kebangsaan kami. Kami mencari kerjasama lebih lanjut dalam teknologi digital, fintech, inovasi dan syarikat pemula," katanya.
Menteri itu juga menekankan kehebatan India dalam sektor teknologi maklumat (IT), mengetengahkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bulan lepas mengenai kerjasama teknologi digital antara kedua-dua negara semasa lawatan rasmi Anwar ke negara itu.
"Pemeteraian MoU dalam teknologi digital bulan lepas menandakan satu lagi perkembangan penting. Kami berharap dapat bekerjasama secara aktif dengan Majlis Digital Malaysia-India untuk memacu kerjasama kami dalam ICT, Kecerdasan Buatan, pengkomputeran kuantum, keselamatan siber, dan penyelesaian e-kerajaan," katanya.
Kirti Vardhan Singh turut mengakui peranan penting diaspora India di Malaysia sebagai "jambatan" antara kedua-dua negara dan memuji sumbangan mereka dalam mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala.
Sementara itu, dalam ucapannya, Sharma berterima kasih kepada menteri India atas komitmennya dalam mengukuhkan hubungan dua hala serta fokus kerajaan India untuk mendalami hubungan dengan Malaysia, terutamanya selepas lawatan berjaya Anwar ke India pada Ogos lalu.
Beliau menekankan kepentingan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, sambil menyatakan bahawa tahun lepas, perdagangan dua hala mencapai pencapaian baru sebanyak US$20 bilion.
Beliau juga menekankan potensi angka ini dijangka meningkat kepada US$30 bilion menjelang 2027, bertepatan dengan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara India dan Malaysia.
-- BERNAMA