Perkongsian strategik Arm: Negara bakal hasilkan ‘cip AI buatan Malaysia’ – PM Anwar
Firdaus Azil
Mac 5, 2025 16:53 MYT
Mac 5, 2025 16:53 MYT
Perdana Menteri menyempurnakan Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Industri Semikonduktor di ibu negara pada Rabu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perkongsian strategik di antara Kerajaan Malaysia dan Arm Holdings Plc dalam pembangunan cip semikonduktor akan menyaksikan negara menerima pelan pembangunan teknologi paling bercita-cita tinggi, menerajui pembuatan cip kecerdasan buatan (AI) buatan Malaysia.
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia dan Arm Holdings Plc bekerjasama dalam pembangunan cip semikonduktor, yang akan direka, dikilangkan, diuji, dan dipasang di Malaysia sebelum dipasarkan ke seluruh dunia.
- Kerjasama ini selaras dengan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan menandakan era gelombang kedua negara dalam pembikinan cip.
- Tiga ciri utama kerjasama ini adalah latihan untuk 10,000 jurutera rekaan litar sepadu, pemilihan syarikat tempatan, dan fasilitasi pembangunan produk semikonduktor tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui kerjasama tersebut, cip berkemajuan tinggi itu akan direka, dikilangkan, diuji dan dipasang di sini, sebelum dipasarkan ke seluruh dunia.
Dengan perjanjian tersebut, beliau berkata, ia menandakan era perjalanan gelombang kedua negara dalam pembikinan cip, selaras dengan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang dilancarkan tahun lepas.
Tambahnya lagi, kerjasama itu mempunyai tiga ciri utama, iaitu latihan tenaga pakar tempatan; pemilihan syarikat tempatan; dan fasilitasi pembangunan produk semikonduktor tempatan.
“Pertamanya, ia akan mewujudkan program latihan komprehensif untuk 10,000 jurutera rekaan litar sepadu, memastikan ruang untuk melahirkan bakat yang mantap bagi industri semikonduktor.
“Kedua, ia akan syarikat Malaysia yang terpilih, akses kepada teknologi termaju dan portfolio Arm. Dan ketiga, ia akan memangkin perkembangan produk semikonduktor buatan tempatan, memajukan lagi sasaran negara untuk menghasilkan cip yang lebih maju,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Industri Semikonduktor di ibu negara pada Rabu.
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dalam temu bual khas bersama Bloomberg baru-baru ini berkata, melalui perjanjian tersebut, Arm Holdings Plc bersetuju untuk membekalkan reka bentuk dan teknologi cip kepada Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang,
Beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan radikal dengan bekerjasama bersama Arm bagi membangunkan ekosistem semikonduktor yang lengkap.
Melalui perjanjian ini, Malaysia dijangka dapat mempercepatkan matlamatnya untuk menghasilkan cip sendiri serta mewujudkan sehingga 10 syarikat cip dengan jumlah pendapatan tahunan sehingga AS$20 bilion.
Selain itu sektor berkenaan diunjur untuk menyumbang satu mata peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, selain menyediakan lesen paten dan kepakaran kepada negara, Arm juga bakal membuka pejabat ASEAN pertamanya di Kuala Lumpur, dengan sasaran untuk memperkembangkan lagi pasarannya hingga ke Australia dan New Zealand.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada kerjasama rentas Kementerian yang memungkinkan kerjasama itu berlaku iaitu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana menyediakan rangkakerja pelaburan yang kompetitif; Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menerajui pemeteraian perjanjian.
Selain itu beliau berkata, penghargaan juga diberikan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi di atas penjajaran insentif kewangan dan mampan.
#perkongsian strategik arm
#cip buatan Malaysia
#Anwar Ibrahim
#pembangunan cip semikonduktor
#terkini