Perkongsian melampau maklumat peribadi di laman sosial undang padah - SKMM
Bernama
Jun 27, 2015 10:28 MYT
Jun 27, 2015 10:28 MYT
Kecenderungan untuk berkongsi maklumat peribadi secara melampau merupakan faktor utama pengguna laman sosial menjadi mangsa kes penipuan dan sebagainya.
Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Perancangan Jangkauan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Nur Haili Nadia Mustapha Kamal berkata kebanyakan pengguna laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter menganggap laman sosial sebagai diari peribadi mereka.
Justeru, pengguna cenderung untuk berkongsi pelbagai maklumat peribadi seperti nombor telefon, alamat rumah, lokasi di mana mereka berada serta ada juga yang memuat naik gambar-gambar yang tidak sopan.
"Kecuaian itu mengundang padah apabila maklumat peribadi dikongsi sebegitu. Kita tidak kenal kawan-kawan di laman sosial yang mungkin akan memanipulasi maklumat yang kita kongsi.
"Ini mengundang kepada niat jahat pihak tertentu. Sekarang kita lihat hak privasi sudah tidak ada dalam kalangan pengguna laman sosial," katanya kepada Bernama dalam satu sidang media di Wisma Bernama pada Jumaat.
Sehubungan itu, Nur Haili Nadia menasihatkan pengguna laman sosial supaya berfikir secara bijak sebelum berkongsi atau memuat naik sesuatu yang bukan sahaja akan membawa implikasi kepada mereka malah kepada orang lain.
Katanya, pengguna juga perlu membuat tetapan pada laman sosial masing-masing untuk mengawal apa jua maklumat yang boleh dikongsi bersama-sama rakan di alam maya.
"Jika berlaku sebarang penganiayaan laman sosial, maka pengguna perlu lapor segera kepada moderator laman sosial kerana mereka akan beri keutamaan kepada anda. Kemudian barulah lapor kepada SKMM dan pihak polis jika perlu," katanya.
Nur Haili Nadia juga meminta pengguna supaya tidak menjadi hamba kepada laman sosial dengan memuat naik dan berkongsi pelbagai perkara semata-mata mengejar populariti dan mendapat jumlah 'like' yang banyak.
Menyentuh mengenai peranan SKMM, beliau berkata suruhanjaya itu telah memperkenalkan program Klik Dengan Bijak (KDB) sebagai wadah pendidikan dan pemahaman tentang isu semasa melibatkan buli siber, malah memberi panduan kepada ibu bapa untuk menanganinya.
Melalui program itu, katanya SKMM menyalurkan pelbagai petua bagi mengelak pengguna menjadi mangsa buli siber selain memberi pendedahan supaya menggunakan internet secara lebih berwaspada.
Kata Nur Haili Nadia, kempen yang berteraskan kepada Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan kini berada pada fasa kedua yang fokus kepada isu jenayah buli siber, berkongsi maklumat peribadi secara melampau dan penipuan di internet.
"Kita buat video bersiri mengenai implikasi internet kepada pengguna selain bekerjasama bersama media dan turun padang memberi ceramah di sekolah dan institusi pengajian tinggi," katanya menambah sebanyak 6,000 program pendidikan internet telah dijalankan SKMM sepanjang tahun lepas di seluruh negara.