Perkongsian konflik, krisis manusia di AWANI LINC

Astro Awani
Disember 20, 2020 13:11 MYT
Antara topik yang bakal dikupas adalah mengenai UUKA, konflik bersenjata kepada manusia dan pengharaman senjata nuklear di dunia serta penguatkuasaan Triti Pengharaman Senjata Nuklear.
KUALA LUMPUR: Tahun 2020 menjadi sejarah apabila pandemik COVID-19 yang melanda dunia mengakibatkan kematian, kemerosotan ekonomi dan perubahan ketara dalam kehidupan sosial.
Ia turut dikenali sebagai tahun infodemik apabila ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kebergantungan terhadap komunikasi digital meningkat, selain menjadi wadah penyebaran berita palsu dan tidak benar.
Pada masa sama, pandemik turut menyebabkan peningkatan penindasan di wilayah-wilayah konflik bermula dari Timur Tengah sehingga ke Afrika.
Kerja-kerja kemanusiaan semakin berkurangan apabila berlakunya pelanggaran Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA), peningkatan stigma, penyalahgunaan data dan penyalahgunaan saluran komunikasi digital yang mendorong kepada kebencian.
Justeru, memahami keadaan yang mencabar ini, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Astro AWANI LINC menzahirkan kerjasama dengan menganjurkan webinar “Telling (Human) Stories in times of Conflict & Crisis”.
Selain itu, turut diadakan pertandingan pitching bagi meningkatkan kesedaran berkenaan UUKA dalam kalangan rakyat Malaysia dan menggalakkan penghasilan kandungan yang memberi kesan positif terhadap nilai kemanusiaan.
Webinar tersebut akan diadakan pada 22 Disember ini bermula jam 8 sehingga 10 malam.
Panel yang akan menyertai perbincangan ialah Penasihat Undang-Undang ICRC, Aisya Abdul Rahman; Wartawan Penyiaran Bebas, Tehmina Kaoosji; Editor Laporan Khas Malaysiakini, Aidila Razak dan Ketua Meja Belia dan Sosial Media Astro AWANI, Hilal Azmi.
Forum akan dikendalikan Pengasas Bersama Pusat Media Sains, Tan Su Lin
Antara topik yang bakal dikupas adalah UUKA, konflik bersenjata kepada manusia dan pengharaman senjata nuklear di dunia, serta penguatkuasaan Triti Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) yang akan berlaku pada 22 Januari 2021 nanti.
Selain itu, panel juga bakal berkongsi mengenai implikasi laporan media terhadap golongan terdedah, pengalaman bekerja semasa krisis dalam mengimbangi objektif berita, serta potensi laporan yang disediakan dalam mengukur nilai kemanusiaan ketika waktu mencabar ini.
Sementara itu, seramai 24 peserta kategori wartawan dan bukan wartawan akan diberi masa seminit untuk membentangkan kandungan kepada penonton, dengan diadili tiga juri.
Peserta juga berpeluang memenangi wang tunai dan menghasilkan kandungan yang memberi impak positif, sama ada di media sosial, blog atau format lain, dalam bentuk penulisan atau video.
Topik pembentangan perlu menyentuh salah satu daripada tiga elemen berikut:
1. Impak COVID-19 terhadap kesihatan mental barisan hadapan.
2. Stigma dan diskriminasi terhadap migran tanpa dokumen atau tahanan.
3. Kesan kemanusiaan daripada peperangan nuklear dan signifikannya terhadap TPNW.
Mereka yang menyertai sesi itu boleh memilih peserta digemari melalui undian terbuka dan pemenang akan diumumkan pada akhir sesi.
Maklumat lanjut di www.linc.astroawani.com.
#COVID-19 #pandemik #konflik #krisis kemanusiaan #humanitarian #Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa #Persatuan Bulan Sabit Merah #webinar #kemanusiaan #Malaysia #kebencian #kerja kemanusiaan #senjata nuklear #TPNW #stigma #diskriminasi #migran
;