Perkongsian data lebih komprehensif yakinkan masyarakat ambil dos penggalak - Pakar kesihatan

Madiha Abdullah
November 11, 2021 21:46 MYT
Orang ramai perlu diberi kefahaman bagaimana situasi semasa boleh berubah jika golongan rentan masih mengabaikan suntikan dos penggalak. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memberi lebih penekanan terhadap pemberian dos penggalak kepada kumpulan rentan.
Pakar Kesihatan Awam, Dr Malina Osman, berkata antara yang boleh dilakukan ialah berkongsi data yang komprehensif mengenai golongan yang dijangkiti COVID-19 bagi meyakinkan mereka mengambil dos penggalak.
"Saya fikir perkongsian data ini penting kerana sekarang ramai yang beranggapan mereka sudah terima dua dos vaksin, jadi tak perlu lagi dos penggalak.
"Kita sudah ada sejumlah bukti yang menunjukkan perlu ada suntikan penggalak selepas enam bulan bagi golongan rentan untuk elak jangkitan kembali meningkat. Buktinya sudah ada, contohnya Singapura di mana kes kembali meningkat walaupun liputan vaksin sudah hampir menyeluruh.
"KKM perlu beri penekanan terhadap situasi di mana kita berada sekarang, kes aktif masih tinggi iaitu sekitar lebih 60,000 dan faktanya jangkitan baharu akan berlaku jika SOP tidak dipatuhi dan mereka yang terdedah dan berisiko tinggi pula tidak menerima dos penggalak," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Khamis.
COVID-19 | Penting untuk dapatkan dos penggalak
Jelas Dr Malina, apa yang perlu adalah memberi kefahaman berterusan mengapa dos penggalak ini penting, serta bagaimana situasi dalam negara boleh berubah jika masih ramai yang bersikap sambil lewa dan tidak kisah dengan janji temu untuk menerima dos penggalak.
"Situasi kita masih getir jadi kakitangan KKM dan petugas barisan hadapan perlu ambil peranan untuk beri maklumat dan galakan supaya mereka yang wajar dapat suntikan ini tidak berlengah.
"Kita sudah melalui tempoh yang sukar pada pertengahan tahun ini, di mana kes begitu tinggi dan penutupan ekonomi yang menjejaskan ramai orang. Kita tidak mahu perkara itu berulang kembali kerana hakikatnya kita belum pulih sepenuhnya," ujarnya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan kira-kira 40 peratus individu yang menerima temu janji suntikan dos penggalak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak hadir menerima suntikan itu.
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #dos penggalak #Dr Malina Osman
;