Perkongsian awam-swasta penting, pacu ekonomi digital ASEAN - CEO MDEC

Bernama
Oktober 17, 2024 19:45 MYT
Anuar Fariz berkata AI akan berperanan penting dalam membentuk semula industri, meningkatkan kecekapan operasi dan memacu produktiviti. - Gambar fail/DagangNews
KUALA LUMPUR: Perkongsian awam-swasta (PPP) berperanan penting dalam membentuk masa depan ASEAN, khususnya untuk memacu ekonomi digital ke hadapan kerana sektor itu merupakan tulang belakang kemajuan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Anuar Fariz Fadzil.
Beliau berkata menerusi kerjasama, kerajaan dan sektor swasta boleh mempercepat penggunaan teknologi transformatif, mewujudkan persekitaran dengan inovasi yang berkembang maju manakala perniagaan boleh berkembang pesat.
Kecerdasan buatan (AI) bersedia menjadi anjakan perubahan untuk Malaysia dan rantau ASEAN, katanya dalam kenyataan sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Baru-baru ini, Menteri Digital Gobind Singh Deo menyuarakan keyakinannya bahawa ekonomi digital Malaysia berada di landasan untuk mengatasi unjuran sumbangan sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan kerajaan akan menubuhkan Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan bagi menyelaraskan inisiatif, termasuk melengkapkan pelan tindakan teknologi lima tahun dan rangka kerja kawal selia dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk meningkatkan penggunaan AI secara beretika dan mampan.
Anuar Fariz berkata AI akan berperanan penting dalam membentuk semula industri, meningkatkan kecekapan operasi dan memacu produktiviti.
"Ia mempunyai potensi untuk mempercepat transformasi digital di seluruh ASEAN, memastikan ekonomi kita kekal tangkas dan bersedia untuk masa hadapan," katanya.
Beliau berkata MDEC menerajui program untuk membangunkan bakat AI dan memupuk inovasi, memastikan Malaysia bukan sekadar pengguna malah juga lebih penting sebagai pencipta teknologi AI.
AI menjadi pemangkin utama untuk pertumbuhan dalam banyak bidang -- daripada kecanggihan infrastruktur 5G yang menyokong pembangunan teknologi pesat, hingga pendidikan, dengan permintaan untuk memperoleh pakar berpengalaman dalam AI menjadi semakin penting.
Anuar Fariz juga berkata penekanan perlu diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk memastikan mereka bersedia memanfaatkan kemajuan ini.
Beliau menyifatkan PKS sebagai tunjang ekonomi negara dan mesti dibantu untuk memanfaatkan teknologi terkini seperti AI, agar dapat kekal berdaya saing dan meningkatkan produktiviti.
"Matlamat kami adalah memperkasakan PKS dengan memberikan akses kepada alat dan platform digital kepada mereka supaya kalangan PKS boleh meningkat maju.
"AI boleh meningkatkan kecekapan dan membantu mereka berinovasi dengan cara yang tidak dapat dibayangkan sebelum ini," katanya.
Anuar Fariz berkata pelaburan langsung asing dalam sektor teknologi dan inovasi akan menjadi penting untuk meningkatkan lagi peranan Malaysia sebagai peneraju digital serantau.
"Dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang menggalakkan dan mempromosikan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi, kita boleh menarik pelabur antarabangsa yang ingin memanfaatkan ekonomi digital Asia Tenggara yang berkembang pesat," katanya.
Beliau juga menekankan potensi Malaysia untuk mengeksport inovasi digital tempatan ke negara ASEAN lain dan ke luar ASEAN.
"Ekosistem digital Malaysia yang sedang berkembang telah menghasilkan penyelesaian termaju yang boleh menangani cabaran yang dihadapi oleh ekonomi sedang pesat membangun lain.
"Menerusi eksport inovasi kita, kita terus memperkukuh kehadiran global Malaysia dan pada masa sama menyumbang kepada pertumbuhan digital kolektif rantau ini," katanya.
-- BERNAMA
#KDNK #pelaburan langsung asing #pendidikan #ASEAN
;