PERKIM Datuk Keramat taja mualaf cemerlang tunai umrah

Astro Awani
Mac 12, 2024 21:33 MYT
Mohamad Suhaimi berkata, tanda penghargaan itu diberikan bagi menyuntik semangat golongan mualaf untuk terus komited dalam mempelajari Islam. - Gambar PERKIM
KUALA LUMPUR: Ramadan kali ini lebih bermakna buat tiga orang mualaf cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah di bawah program Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), selepas mereka ditawarkan menunaikan ibadah umrah oleh NGO berkenaan.
Pengerusi PERKIM, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, tanda penghargaan itu diberikan bagi menyuntik semangat golongan mualaf untuk terus komited dalam mempelajari Islam.
“Kesungguhan mereka ketika mengikuti kelas pengajian benar-benar memberikan keinsafan kepada kami khusunya tenaga pengajar.
“Atas sebab itu, kami memutuskan untuk meraikan mereka dalam satu majlis seterusnya memberikan sedikit sumbangan bagi menyuntik semangat para pelajar lain untuk terus istiqamah dalam menuntut ilmu,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Terdahulu, PERKIM Datuk Keramat mengadakan Majlis Apresiasi Dakwah PERKIM Tahun 2024 yang disempurnakan Penolong Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Saiful Hafiz Abdullah.
Seramai 12 orang pelajar dan guru menerima Anugerah Cemerlang di dalam majlis yang dihadiri sekitar 300 orang itu.
Mohamad Suhaimi berkata, ketekunan mereka menaikkan semangat tenaga pengajar di Perkim Datuk Keramat untuk memastikan golongan mualaf benar-benar memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenar.
“Majlis ini khusus untuk menghargai golongan mualaf yang menunjukkan kesungguhan dalam mendalami agama Islam melalui kelas-kelas agama yang dianjurkan.
“Melalui kelas-kelas agama seperti asas fardu ain, asas solat, mengaji dan sebagainya ada di kalangan mereka yang begitu tekun belajar dan ada yang sudah boleh bersolat serta membaca al-quran dengan lancar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohamad Suhaimi turut mengalu-alukan kepada mereka yang berkeupayaan serta syarikat-syarikat korporat yang ingin menyalurkan sumbangan.
Menurutnya, sumbangan yang disalurkan akan membolehkan aktiviti dan program dakwah di Perkim Datuk Keramat dapat diteruskan sekali gus membantu golongan mualaf yang memerlukan bantuan.
#Perkim #MAIWP #ibadah umrah #fardu ain
;