Perkhidmatan tren ETS kembali beroperasi sepenuhnya
Syafique Shuib
Oktober 30, 2016 18:42 MYT
Oktober 30, 2016 18:42 MYT
Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) beroperasi sepenuhnya hari ini setelah satu landasan keretapi boleh digunakan sejak pukul 3 petang tadi.
Mengesahkan perkara ini, Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Siti Badariah Wan Hanafi berkata tren pertama yang menggunakan landasan ini adalah tren ETS dari Butterworth ke KL Sentral pada jam 4.15 petang tadi.
“Bagaimanapun, perkhidmatan tren dijangka mengalami kelewatan melebihi 30 minit kerana akan menggunakan satu laluan sahaja,” katanya kepada Astro AWANI.
Semalam, Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad menjangkakan tren pertama dapat bergerak daripada stesen KTM Ipoh seawal jam 5 pagi Ahad menggunakan laluan sepanjang 100 meter yang telah dibaikpulih.
Dengan bermulanya penggunaan landasan keretapi ini, perkhidmatan bas sementara yang membawa penumpang terkandas sebelum ini, bagi sektor Kampar-Ipoh-Kampar, diberhentikan.
“Tiada lagi perkhidmatan bas ini sebab kita sudah menggunakan tren sepenuhnya,” tambahnya.
Perkhidmatan tren di laluan utara dan selatan mengalami gangguan ekoran insiden kegelinciran tren kargo di KM200.332 antara Kota Bharu-Lahat di Stesen Batu Gajah pada Jumaat.
KTMB menyifatkan insiden kereta api kargo tergelincir tempoh hari sebagai paling teruk dalam sejarah 130 tahun perkhidmatan kereta api di negara ini.
Nawawi berkata, walaupun sebelum ini pernah berlaku insiden kegelinciran namun kejadian awal pagi Jumaat itu adalah terburuk.