Perkhidmatan Shuttle Tebrau ke Woodlands mula operasi, hampir 70,000 tiket terjual
Bernama
Jun 19, 2022 11:41 MYT
Jun 19, 2022 11:41 MYT
JOHOR BAHRU: Perkhidmatan tren Shuttle Tebrau dari Stesen Johor Bahru (JB) Sentral ke Stesen Woodlands, Singapura mula beroperasi hari ini, setelah dua tahun dihentikan berikutan pandemik COVID-19.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pembukaannya mendapat sambutan hangat berikutan hampir 70,000 tiket telah terjual untuk tempoh satu bulan.
Beliau berkata pengoperasian semula Shuttle Tebrau dilihat dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor setelah laluan itu ditutup pada 24 Mac 2020 akibat pandemik.
"Untuk peringkat awal, seminggu pertama ini kami hanya menyasarkan 240 penumpang (satu perjalanan) kerana perlu menyelaraskan (beberapa perkara seperti) MySejahtera dan ciri-ciri lain yang perlu dibuat penyelarasan.
"Kami sasarkan 7,000 orang penumpang (sehari) dapat menggunakan perkhidmatan ini apabila ia telah beroperasi sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan tren Shuttle Tebrau, di Stesen JB Sentral, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin.
Sementara itu, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan dan KTMB serta semua pihak yang terlibat dalam pengoperasian semula Shuttle Tebrau.
"Melihat pengoperasian kembali tren ini merupakan satu detik sejarah setelah ia ditutup dua tahun, rakyat tertunggu-tunggu.
"Ia dapat membantu negeri untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, tiket jualan untuk satu bulan sahaja cecah 70,000 jadi (kita lihat) permintaan memang tinggi," katanya.
Sebanyak 31 perkhidmatan tren beroperasi setiap hari membabitkan 18 perkhidmatan dari JB Sentral ke Woodlands, manakala 13 lagi perkhidmatan dari Woodlands ke JB Sentral, dengan kekerapan 30 minit pada waktu puncak.
Perkhidmatan dari Stesen JB Sentral bermula pada 5 pagi dan berakhir pada 10.45 malam, manakala Stesen Woodlands bermula 8.30 pagi dan tren terakhir pada 11.45 malam dengan tambang RM5 sehala dari JB Sentral dan SG$5 dari Woodlands.
-- BERNAMA