Perkhidmatan Shuttle Tebrau ke Woodlands beroperasi semula 19 Jun - Wee Ka Siong

Bernama
Jun 11, 2022 14:37 MYT
Jualan tiket kereta api bagi perjalanan 19 Jun hingga 18 Julai itu akan bermula pada pukul 3 pagi, Isnin (13 Jun) ini. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Perkhidmatan Shuttle Tebrau dari Stesen Johor Bahru Sentral (JB Sentral) ke Stesen Woodland, Singapura akan beroperasi semula pada 19 Jun ini selepas digantung sejak 24 Mac 2020 ekoran pandemik COVID-19 dan penutupan sempadan antarabangsa.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata jualan tiket kereta api bagi perjalanan 19 Jun hingga 18 Julai itu akan bermula pada pukul 3 pagi, Isnin (13 Jun) ini.
Wee berkata sebanyak 31 perkhidmatan yang beroperasi setiap hari dari JB Sentral -Woodlands-JB Sentral membabitkan 18 perkhidmatan dari JB Sentral ke Woodlands manakala 13 lagi perkhidmatan dari Woodlands ke JB Sentral.
Menurutnya, seramai 7,000 penumpang dijangka menggunakan perkhidmatan tersebut sehari dengan maksimum kapasiti bagi setiap trip adalah 320 penumpang dan kekerapan perkhidmatan tren adalah 30 minit.
"Perjalanan bagi tarikh 19 -25 Jun sahaja adalah berkapasiti 240 penumpang berbanding 320 penumpang kerana terdapat penambahbaikkan yang dilakukan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura (ICA), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Malaysia dan penambahbaikkan merangkumi 'Digital Arrival Card dan 'Face Image Scanner'," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut ke tapak pembinaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Bukit Chagar di sini hari ini.
Menurut beliau, penumpang akan menggunakan pasport sebagai tiket rasmi untuk mendaftar masuk di Turnstile Stesen JB Sentral dan Stesen Woodlands sebelum menaiki tren Shuttle Tebrau.
Wee berkata, harga tiket bagi perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands adalah RM5 seorang manakala dari Woodlands ke JB Sentral adalah SGD 5.00 (RM15.86) seorang.
"Penumpang boleh membeli tiket menggunakan sistem KITS online atau kaunter tiket dan penumpang dikehendaki mendaftar dan memasukkan nompor pasport terlebih dahulu sebelum membuat pembelian tiket Shuttel Tebrau," katanya.
-- BERNAMA
#Shuttle Tebrau #Woodlands #Tambak Johor #Wee Ka Siong
;