Perkhidmatan sewa, kongsi kereta elektrik pertama di Malaysia
Astro Awani
Mei 31, 2015 08:29 MYT
Mei 31, 2015 08:29 MYT
Warga kota berpeluang menyewa kereta elektrik (EV) melalui program perkongsian kereta pertama di Malaysia yang dilaksanakan di bandaraya Kuala Lumpur.
Inisiatif ini bagi memberi pilihan kepada orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan sebagai usaha mengurangkan kesesakan jalan raya.
Setakat ini terdapat 400 pengguna telah berdaftar dengan program yang berkonsepkan Mobiliti Penyelesaian Padu (Comos) dengan objektif utama menggalakkan persekitaran hijau.
Menurut Pengerusi Eksekutif CMS Consortium Eco-Tour, Datuk Seri Syed Zainal Syed Mohd Tahir, setakat ini terdapat 60 EV berteknologi hijau disediakan di sekitar bandaraya.
Pengguna EV dapat menyewa kenderaan itu dengan caj penggunaan minimum hanya RM6 setiap 15 minit dan RM160 untuk sehari.
Ketua Pegawai Eksekutif Comos, Dr Badrulhisham Mohd. Ghazali berkata EV yang menggunakan kereta jenis Renault Zoe mempunyai ciri keselamatan yang mematuhi piawaian antarabangsa.
“EV Renault Zoe ini kami letakkan di 10 stesen yang terpilih. Apa yang pelanggan perlu buat adalah mendaftar dan mengambil kad dan nombor pin di pejabat kami sebelum ke stesen-stesen ini untuk mengambil kereta.
“Dengan adanya nombor pin dan kad yang disediakan ia bakal mengurangkan risiko kecurian. Di samping kereta tersebut turut dilengkapi dengan sistem GPS dan Airbag,” katanya kepada Astro AWANI.
EV kini beroperasi di sekitar Lembah Klang termasuk di stesen LRT Bangsar, stesen Monorel Medan Tuanku, stesen LRT Universiti, stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen KL Sentral.
Selain beberapa stesen di Medan Tuanku, Jalan Munshi Abdullah, Lorong P. Ramlee dan Universiti Malaya.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuat kajian menyeluruh dan meneliti semula penambahan kemudahan bagi pengguna menikmati perkhidmatan program kenderaan EV yang mencukupi.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata usahasama strategik antara pihak swasta dan kerajaan khususnya dari segi pembinaan infrasktruktur akan ditambahbaik dalam masa terdekat.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari www.comos.com.my.