Perkhidmatan SBST ditambah baik dengan bas baharu, pembayaran tanpa tunai - Loke

Bernama
Ogos 16, 2024 15:45 MYT
Menteri Pengangkutan Anthonly Loke (dua, kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) Seremban di Terminal Bas Kuala Klawang hari ini. - Foto Bernama
JELEBU: Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) akan ditambah baik dengan penggantian bas baharu berwarna merah jambu dan sistem pembayaran tanpa tunai di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Negeri Sembilan menjadi yang pertama melancarkan operasi hari ini dengan 46 bas terdiri daripada 44 bas mini dan dua van, melibatkan peruntukan RM79 juta disalurkan kerajaan Persekutuan bagi Pakej B.
"Gopi Travel Tours Sdn Bhd diberi amanah sebagai pengendali rangkaian perkhidmatan SBST bagi tiga koridor iaitu Kuala Klawang, Kuala Pilah/Bahau dan Port Dickson merangkumi 10 laluan yang menghubungkan kawasan itu dengan bandar Seremban untuk kontrak lima tahun sementara pakej A bagi laluan lain akan dilancarkan kemudian.
"Kita sasar pelaksanaan di Johor Bahru, Melaka, Kangar, Ipoh, Kuala Terengganu, Kuantan, Kota Setar, Kota Bharu dan juga Sabah serta Sarawak.
"Setiap negeri kecuali Lembah Klang dan Pulau Pinang akan dilaksanakan secara berfasa di mana kita akan melancarkan bas ini juga di Melaka tidak lama lagi, yang sudah ada lantikan kontrak baharu manakala negeri lain perlu menunggu kontrak lama tamat," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan SBST di Terminal Bas Kuala Klawang di sini hari ini.
Katanya warna merah jambu dipilih sebagai rekaan bas yang baharu supaya kelihatan ceria sekali gus menarik minat lebih ramai masyarakat menggunakan pengangkutan awam itu.
"Majlis Bandaraya Seremban dan kerajaan negeri juga sedang menaik taraf Terminal One yang menjadi satu pusat hab untuk bas, jadi diharapkan menjelang tahun hadapan projek disiapkan dan beri wajah baharu untuk orang ramai menunggu bas dengan selesa," katanya.
Loke berkata frekuensi laluan bas ditetapkan antara 30 minit hingga sejam secara konsisten yang dipantau menerusi Sistem Pengesanan Global (GPS) secara langsung dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
"Kita tidak mahu dengar penumpang tunggu sehingga dua ke tiga jam tiada bas. Kalau pengendali tidak mengikut jadual, kita akan memotong bayaran kepada mereka," katanya.
Menurutnya inisiatif menyediakan tambang percuma 'myBAS Konsesi' bagi warga emas, Orang Kurang Upaya dan pelajar sekolah juga diteruskan apabila menggunakan perkhidmatan itu dengan membuat pendaftaran.
Beliau berkata sebagai perkhidmatan tambahan kepada rakyat Seremban dan negeri ini, pengendali yang dilantik turut dikehendaki menyediakan perkhidmatan secara tempahan bagi membawa pesakit mobiliti terhad seperti pesakit berkerusi roda, khusus untuk tujuan mendapatkan rawatan perubatan seperti ke pusat dialisis atau hospital, yang dikenali sebagai BAS.MY Medik.
"Perkhidmatan ini adalah perkhidmatan berbayar dengan tambang yang minimum yang akan dikenakan," katanya.
-- BERNAMA
#Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti #SBST #Anthony Loke #pembayaran tanpa tunai #bas baharu