Perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal tersenarai dalam sistem HIDE terus beroperasi

Bernama
Mei 9, 2021 10:39 MYT
Pintu masuk Stesen LRT di Masjid Jamek Kuala Lumpur, 6 Mei, 2021. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Semua perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai di bawah sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) akan terus beroperasi.
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata tiga stesen yang terlibat ialah LRT KLCC, LRT Masjid Jamek dan KL Sentral.
"Bagaimanapun semua premis perniagaan di stesen yang disenaraikan itu akan ditutup selama tiga hari dari 9 hingga 11 Mei mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang diumumkan semalam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MOT berkata sebarang penutupan atau pembukaan premis perniagaan ini adalah tertakluk kepada arahan MKN dari semasa ke semasa.
Katanya perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi negara, terutama bagi petugas barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur.
"Semua stesen pengangkutan awam perlu sentiasa dibuka bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasan," katanya.
BACA: Premis tersenarai dalam sistem HIDE diarah tutup tiga hari serta merta
BACA: MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE
MOT berkata stesen pengangkutan ini juga dilengkapi dengan alat pengimbas suhu di samping melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ketat.
Ia juga mengingatkan semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP termasuk penggunaan cecair pencuci tangan, memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR MySejahtera.
Sistem HIDE yang dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan COVID-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera, dan baru-baru ini ia telah mengeluarkan senarai premis atau lokasi yang dianggap berpotensi menjadi kluster sekiranya tiada tindakan awalan diambil.
-- BERNAMA
#Kementerian Pengangkutan #MOT #Premis perniagaan #stesen LRT #PKP #HIDE #pengangkutan awam #Terminal #stesen #tutup #LRT KLCC #LRT Masjid Jamek #KL Sentral
;