Perkhidmatan MRT Sungai Buloh-Kajang mula operasi hari ini

Astro Awani
Julai 17, 2017 11:15 MYT
Perkhidmatan MRT dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik dengan sasaran penurunan 160,000 kenderaan memasuki ibu kota setiap hari.
Bermula 4.00 petang ini, orang ramai boleh mula menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan kedua antara Kajang dan Sungai Buloh.
Pelancaran fasa tersebut akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jajaran keseluruhan laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) melibatkan 51 kilometer merentasi 31 stesen.
Ini termasuk tujuh stesen bawah tanah, dengan integrasi laluan LRT di stesen-stesen Pasar Seni, Maluri, dan Merdeka yang berintegrasi dengan stesen LRT Plaza Rakyat.
Jajaran ini turut mempunyai kemudahan sambungan dengan rangkaian LRT, monorel, KTM Komuter dan ERL di stesen Muzium Negara, yang dihubungkan dengan stesen KL Sentral.
Perkhidmatan MRT dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik dengan sasaran penurunan 160,000 kenderaan memasuki ibu kota setiap hari.
Ini sejajar dengan sasaran tingkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2030 seperti yang ditetapkan kerajaan.
#fasa kedua #Kajang #MRT #Najib Razak #pelancaran #Perdana Menteri #SBK #Sungai Buloh #Transit Aliran Massa
;