Perkhidmatan media sosial perlu berlesen langkah tepat - Ahmad Zahid

Bernama
Julai 28, 2024 16:45 MYT
Ahmad Zahid menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk 2024 di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini. - Foto Bernama
BAGAN DATUK: Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang memerlukan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), merupakan satu langkah tepat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah tersebut, boleh menangani peningkatan kes jenayah siber termasuk penggunaan akaun palsu dalam media sosial, termasuk menabur persepsi negatif terhadap kerajaan.
"Satu langkah supaya tidak ada yang menggunakan akaun palsu untuk menimbulkan persepsi negatif, supaya tidak menyorok atas nama orang dan menggunakan akaun palsu untuk melakukan buli siber," kata beliau selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk 2024 di sini hari ini.
Platform tiada lesen akan ditutup mulai 1 Januari 2025
MCMC dalam kenyataan semalam memaklumkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Langkah itu akan berkuat kuasa 1 Jan 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.
Sementara itu menjawab soalan dakwaan langkah berkenaan bermotif politik dan menyekat kebebasan bersuara, Ahmad Zahid berkata netizen yang tidak melanggar etika dan menggunakan media akaun sosial bertanggungjawab tidak perlu takut.
"Apa nak takut kalau media sosial digunakan untuk menyatakan kebenaran dan memperkenalkan identiti yang sebenar.
"Banyak negara tidak menggunakan saluran sosial media yang ada sekarang, China umpamanya, mereka ada cara sendiri, Singapura juga mendaftarkan (media sosial), supaya setiap netizen bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya, bukan melempar tapi sembunyi tangan. Itu namanya pengecut," kata beliau.
Presiden UMNO itu juga bersetuju dengan langkah meminda atau menggubal akta baharu berkaitan buli siber dan hukuman yang lebih keras dikenakan kepada pembuli di alam maya, termasuk menyebabkan kehilangan nyawa.
"Apa yang berlaku baru ini hingga menyebabkan kematian amat menyedihkan. Apabila dibawa ke mahkamah, undang-undang sedia juga tidak memberikan hukuman yang setimpal. Kita tak salahkan mahkamah dalam hal ini, tapi undang-undang itu hanya mengenakan jumlah denda yang rendah.
"Jadi perkara ini harus dipinda semula akta supaya hukuman yang lebih berat kepada mereka yang melakukan cyber buli dapat dihukum dengan setimpal," kata beliau.
-- BERNAMA
#media sosial perlu lesen #Zahid Hamidi #MCMC #langkah tepat #buli siber #kebebasan bersuara
;