Perkhidmatan LRT terjejas, pengguna 'berang' terkandas beberapa jam
Kohilah Sekaran
September 7, 2016 12:16 MYT
September 7, 2016 12:16 MYT
BERATUS-RATUS pengguna tren terkandas pagi ini susulan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).
Menurut MyRapidKL menerusi akaun Facebooknya, tren aliran Kelana Jaya mengalami kelewatan disebabkan gangguan bekalan elektrik dari Masjid Jamek ke Ampang Park.
Pihaknya, dalam pada itu, menyediakan pengangkutan alternatif untuk melancarkan perjalanan pengguna.
Antaranya, perkhidmatan bas ulang-alik di beberapa stesen LRT termasuk Masjid Jamek dan KL Sentral, juga tren alternatif dari Putra Heights untuk berpatah balik di Masjid Jamek.
"Kita menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dari Stesen Sri Rampai ke Masjid Jamek untuk kemudahan pengguna.
"Penumpang di KL Sentral boleh beralih ke perhentian bas di Jalan Brickfields. Bas ulang-alik ke KLCC akan disediakan," kata RapidKL dalam beberapa siri tweetnya.
Pada kira-kira jam 9 pagi, bekalan elektrik di antara stesen Setiawangsa ke Damai dipulihkan.
“Pasukan teknikal masih meneruskan kerja untuk memulihkan bekalan elektrik bagi keseluruhan laluan," kata RapidKL di akaun Twitternya.
Sementara itu, netizen menggunakan platform media sosial untuk mengadu serta melahirkan rasa kecewa mereka terhadap perkhidmatan tren.
Netizen turut mempersoalkan keberkesanan servis tren yang sering mengalami gangguan teknikal pada musim hujan sehingga menyebabkan ramai penumpang terperangkap dan lewat ke tempat kerja.