Perkhidmatan komuter, ETS kembali beroperasi
Bernama
Ogos 19, 2017 22:02 MYT
Ogos 19, 2017 22:02 MYT
Semua perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) kembali beroperasi seperti biasa bermula 6.20 petang ini.
KTM Berhad dalam kenyataan hari ini berkata perkhidmatan tren tersebut terjejas sejak awal pagi ini ekoran insiden kegelinciran tren kargo di KM386.800, di antara laluan Stesen Kuala Lumpur dan Stesen Bank Negara, pada 4.30 pagi tadi.
"Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku," kata kenyataan itu.
Kesemua operasi perjalanan Komuter mengalami gangguan di antara 20 hingga 30 minit manakala perjalanan ETS mengalami kelewatan perjalanan di antara 15 hingga 20 minit.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-2267 1200 atau layari laman web www.ktmb.com.my serta Facebook KTM Berhad dan Twitter @ktm_berhad.
-- BERNAMA