Perkhidmatan komunikasi diangkat jadi utiliti awam - Saifuddin

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 3, 2021 19:52 MYT
Kata Saifuddin, selain sistem telekomunikasi, perkhidmatan penghatanran (kurier) juga akan dipertingkatkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bagi memperkasakan sistem kesalinghubungan telekomunikasi dan capaian internet, kerajaan telah bersetuju menjadikan perkhidmatan komunikasi sebagai utiliti awam yang baharu selepas perkhidmatan elektrik dan air di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dengan memasukkan komunikasi sebagai utiliti awam ia akan memudah dan mempercepatkan lagi proses kelulusan untuk pembinaan menara-menara komunikasi di seluruh negara.
“Kabinet dalam mesyuarat hari Rabu yang lepas telah membuat keputusan komunikasi diterima sebagai utiliti awam. Kesannya ialah kelulusan untuk kita melakukan kerja-kerja kesalinghubungan itu lebih cepat. Ia bergantung kepada saiz pembangunan itu sendiri,” katanya dalam sidang media secara maya pada petang Khamis.
Kabinet juga katanya telah meluluskan memorandum cadangan tindakan dengan pemakaian Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I).
Tambah beliau, ia juga akan menjadikan proses penyediaan pemasangan dan penyediaan aset komunikasi lebih mudah dan akan memaksimumkan kawasan penerimaan lebih menyeluruh di seluruh negara.
Selain itu ia juga katanya akan mempercepatkan lagi proses pembangunan digital yang sedang dibina oleh kerajaan ketika ini.
“Ia akan menjadikan penyediaan infrastruktur komunikasi dengan cepat dan kos operasi dan pembangunan yang berpatutan. Ketersediaan komunikasi berkualiti tinggi dapat menambah nilai sesuatu negara bagi aktiviti ekonomi yang lebih besar dan berdaya saing.
“Dan yang ketiga daya saing negara dapat dipertingkatkan dengan adanya proses seragam dan telus,” jelasnya.
Sementara itu perkhidmatan penghantaran kurier juga katanya akan diperkemaskan bagi menjamin mutu perkhidmatan yang ditawarkan ketika ini.
Jelasnya ia telah dimulakan penghujung 2020 menerusi perlaksanaan pelan tindakan PAKEJ atau Pelan Accelerator Kurier Negara.
“Pengenalan lebih banyak Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) bebas, perkongsian aset antara syarikat kurier, rombakan syarat lesen operasi, kenderaan penghantaran yang lebih ekonomi, pemakluman dan pematuhan kepada piagam tempoh penghantaran serta penawaran insuran dan mengadakan perkhidmatan premium.
“Bagi memastikan semua pelan tindakan ini dapat dirancang dan dilaksanakan dengan berkesan, MCMC telah mengambil langkah awal dengan membekukan pengeluaran lesen kurier baharu selama dua tahun sejak 14 September 2020.
“MCMC telah mengesan penurunan kualiti perkhidmatan kurier yang ketara. Sebahagian besar aduan pengguna yang diterima iaitu sebanyak 86% melibatkan layanan buruk, kelewatan penghantaran malahan kehilangan barang.
“Purata tempoh penghantaran meningkat daripada 2.1 hari kepada 4.6 hari. Tambah mengejutkan, kadar keuntungan syarikat-syarikat kurier telah merosot walaupun penghantaran bertambah. Keadaan ini menunjukkan perkembangan yang tidak sihat dan memerlukan satu anjakan yang menyeluruh,” jelasnya lagi.
Saifuddin yakin pelan PAKEJ akan dapat menghasilkan hala tuju yang berkesan ke arah memantapkan industri kurier demi faedah setiap pengguna dan menjadi teras penting dalam perancangan pembangunan masa hadapan apatah lagi ketika negara berdepan situasi seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
#Saifuddin Abdullah #MCMC #nilai #ekonomi #kabinet #PKP #bekalan air #telco #perintah kawalan pergerakan #COVID-19 #perkhidmatan komunikasi #perkhimatan kurier #uitiliti awam
;