Perkhidmatan kesihatan: 'Caj RM1 sesuai zaman nasi lemak 10 sen' - MP Tanjong Karang
Hasimi Muhamad
Jun 15, 2023 15:26 MYT
Jun 15, 2023 15:26 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berpandangan struktur caj perkhidmatan di fasiliti kerajaan sebanyak RM1 ketika ini, perlu disemak semula dengan segera.
Membahaskan Kertas Putih Kesihatan, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi berkata, ini kerana kadar tersebut tidak lagi relevan pada masa ini, dan disifatkan sebagai punca utama perkhidmatan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), keterbelakang.
Malah, beliau berkata gesaan Kertas Putih Kesihatan untuk meningkatkan pembiayaan kesihatan sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan satu penyelesaian jangka panjang yang mampan.
"Sementara ini, struktur caj semasa KKM (di klinik dan hospital) perlu disemak semula dengan segera.
"Pembayaran RM1 adalah bersesuaian di zaman nasi lemak dijual pada kadar 10 sen ke 20 sen sebungkus, sedangkan sekarang nasi lemak dah berharga RM2.50 hingga RM5 sebungkus.
"Caj atau kos yang statik pada RM1 ini adalah antara penyumbang utama kepada perkhidmatan kesihatan KKM yang statik dan keterbelakang," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebelum itu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membahaskan Kertas Putih Kesihatan mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa menaikkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerana ia akan menambahkan lagi beban rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
Membahas lagi, Zulkafperi membangkitkan persoalan apakah wajar dengan bayaran RM1, pesakit-pesakit dibiarkan menunggu selama berjam-jam di perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Justeru, beliau berkata perlu ada kemahuan politik untuk meningkatkan caj tersebut kepada kadar yang lebih munasabah, jika dibandingkan dengan kos perkhidmatan swasta yang telah meningkat antara RM80 dan RM100.
"Untuk memastikan perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti moden dan maju, polisi pembiayaan kesihatan perlu dibangunkan dengan mengambil kira pembiayaan cukai daripada KDNK itu sendiri.
"Kedua, polisi insurans rakyat, skim caruman progresif serta pembiayaan swasta," tambah beliau.