Perkhidmatan jalur lebar di luar bandar terus diberi penekanan - Ahmad Shabery

Bernama
April 29, 2015 07:34 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia terus memberi penekanan kepada memperluas liputan jalur lebar di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia terus memberi penekanan kepada memperluas liputan jalur lebar di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata keperluan mendapatkan liputan jalur lebar kini bukan lagi satu kemudahan atau kemewahan, malah telah menjadi satu hak asasi manusia yang tidak dapat dinafikan.
"Bagi saya jika sesuatu tempat itu tidak mempunyai 3G kita begitu kecewa dan sedih, kerana mendapatkan liputan jalur lebar sama ada talian tetap ataupun mudah alih ialah satu hak asasi manusia.
"Kalau lambat, seolah-olah kita menafikan hak rakyat untuk mendapat perkhidmatan jalur lebar dan ini menjadi keutamaan dan perjuangan kerajaan sekarang," katanya selepas melawat bilik gerakan Barisan Nasional di Laban Condong di sini pada Rabu.
Bagi tujuan itu, Ahmad Shabery berkata pihaknya akan turun padang dan berbincang dengan penduduk tempatan mengenai keperluan jalur lebar sama ada dari aspek peningkatan kelajuan atau liputan yang lebih menyeluruh.
Jelasnya pelaburan untuk menambah baik infrastruktur jalur lebar memerlukan kos yang tinggi sehingga menyebabkan ia mengambil masa yang lama sebelum dapat dilaksanakan.
"Rata-rata model infrastruktur jalur lebar dipasang oleh syarikat Telco swasta dan memerlukan kos yang tinggi kerana penggunaan gentian fibre optic yang mahal.
"Sebagai contoh, untuk menaiktaraf 2G kepada 3G, ia memerlukan pelaburan sehingga RM40 bilion jadi tidak ada satu teknologi yang murah dan cepat, cuma kita perlu bersabar dan melabur sedikit untuk mendapat pulangannya," katanya.
Justeru beliau turut menyentuh inisiatif kerajaan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan sumber kewangan negara sekaligus memberi pulangan kepada rakyat dari pelbagai segi termasuk teknologi jalur lebar.
"Rakyat kena faham kalau sesuatu itu memerlukan kos yang tinggi kita memerlukan sumber kewangan yang tinggi untuk membiayainya. Kalau cukai pun tak nak bayar ini sesuatu yang sukar untuk dipenuhi," katanya.
#Ahmad Shabery Cheek #jalur lebar
;