Perkhidmatan intervensi awal yang sistematik dan komprehensif perlu dibangunkan

Prof Madya Dr Hasnah Toran
Februari 8, 2019 11:51 MYT
Negara kita kekurangan pakar yang diperlukan seperti ahli psikiatri dan ahli psikologi kanak-kanak, serta doktor pakar perkembangan kanak-kanak (developmental paediatrician) - Gambar hiasan
SEORANG ibu meminta nasihat daripada saya melalui Personal Messenger:
“Doktor, cikgu kelas Pendidikan Khas anak saya komplen tentang anak saya. Semasa cikgu sibuk membantu murid-murid lain makan, anak saya ke kelas sebelah dan buang air besar di dalam seluar.
"Kemudian dia sapu najisnya ke dinding, termasuklah ke jeriji-jeriji tingkap. Cikgu nasihatkan saya untuk hantar anak ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti sebab cikgu tak mampu nak ajar anak saya. Apa saya patut buat Doktor?”
Terkedu saya mendengar kisahnya.
Betapa besar cabaran yang dia hadapi. Selama ini bersusah payah membesarkan anak yang kurang upaya, kini dia kebingungan, tidak tahu apa arah tujuan untuk masa hadapan anak.
Tetapi dalam masa yang sama, saya juga berasa sangat kasihan kepada guru anaknya.
Terbayang jerih guru mencuci najis di dinding dan jeriji tingkap.
Sudahlah setiap hari berhadapan dengan sekurang-kurangnya enam orang murid-murid berkeperluan khas di dalam satu kelas; suatu situasi yang ibu bapa sendiri tidak mampu untuk hadapi.
Jika seorang sahaja tercicir buang air kecil atau besar, kelam kabut dibuatnya, walau pun setiap kelas ada pembantu pengurusan murid.
Selepas menarik nafas dalam-dalam, saya bertanya beberapa soalan kepada ibu ini.
Jawapan yang diberikan ialah anaknya berusia tujuh tahun, baru masuk sekolah Tahun 1, tiada kecacatan fizikal, masih tidak dapat bertutur, masih memakai lampin pakai buang, masih tidak faham arahan-arahan mudah.
Bila ditanya tentang diagnosis anak, beliau menjawab tidak tahu. Bila ditanya tentang terapi untuk anak, beliau bertanya balik kepada saya, terapi apa yang anaknya perlukan dan di mana dia boleh dapatkan terapi yang diperlukan.
Tepuk dahi saya dibuatnya! Di dalam era ledakan maklumat, masih ada ibu yang mempunyai anak istimewa yang tidak sedar bahawa anaknya memerlukan terapi! Alangkah ruginya!
Jika anaknya memulakan terapi sebaik sahaja kekurang upayaannya dikenal pasti, tentulah keadaannya tidak sebegini teruk pada usia memulakan persekolahan.
Contohnya, jika anak-anak dilatih ke tandas secara dikit demi dikit pada usia tiga tahun, seseorang anak itu mempunyai masa selama empat tahun untuk mengusai kemahiran ini sebelum masuk ke sekolah pada usia tujuh tahun.
Dan pelbagai kemahiran lagi yang boleh diajar kepada anak seperti kemahiran komunikasi, sosial, emosi serta membentuk tingkah laku yang baik.
Terapi-terapi yang diperlukan ini perlu dimulakan seawal mungkin kerana kajian telah membuktikan bahawa lebih awal dimulakan, ia akan lebih berkesan.
Inilah sebabnya ia dikenali sebagai intervensi awal. Kenapa perlu menunggu sehingga anak mencapai usia formal persekolah yakni tujuh tahun baru mula mendidik mereka?
Seeloknya intervensi dimulakan seawal mungkin supaya anak berada di dalam keadaan yang lebih baik.
Impak positif intervensi awal bukanlah hanya kepada anak berkeperluan khas. Intervensi awal juga disalurkan kepada ibu bapa dalam bentuk maklumat, latihan, bengkel, konsultansi serta kaunseling.
Objektif perkhidmatan kepada ibu bapa adalah untuk memperkasakan mereka sehingga mereka mampu menjadi advokat yang terbaik dalam mendapatkan pendidikan serta sokongan untuk anak mereka dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan untuk membantu mereka.
Seperti contoh kes yang saya kongsikan di atas; jika intervensi awal berjaya memperkasakan ibu bapanya, tidaklah ibunya kebingungan hinggakan apa terapi yang diperlukan anak pun tidak tahu.
Sebaliknya, sedari awal kekurang upayaan anak dikenal pasti, dia telah berusaha untuk mendapatkan intervensi awal untuk anak dan tidaklah anak ke sekolah dalam keadaan tidak mampu menguruskan diri dan tidak mampu dikawal oleh guru.
Dan jika anak ini telah menerima intervensi awal yang baik, bertambah mudahlah tugas guru Pendidikan Khasnya, tidak lagi perlu membersihkan murid-murid yang tercicir buang air kecil atau besar.
Sebaliknya, guru boleh terus fokus kepada kemahiran-kemahiran yang boleh membantu murid berjaya di sekolah dan seterusnya di dunia luar, iaitu kemahiran sosial emosi dan pra akademik.
Maka demi memastikaan kejayaan Polisi Sifar Penolakan (Zero Reject Policy) yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek, perkhidmatan intervensi awal yang sistematik dan komprehensif perlu dibangunkan.
Dengan adanya perkhidmatan ini, murid-murid berkeperlun khas dapat dididik agar mereka dapat menjejakkan kaki ke sekolah pada tahap perkembangan yang lebih baik dan lebih bersedia untuk belajar.
Guru-guru di sekolah juga tidak lagi merasakan mendidik murid-murid khas di dalam kelas mereka bagaikan sebuah “mission impossible.”
Namun, hakikatnya perkhidmatan intervensi awal di Malaysia masih lagi di tahap bertatih.
Negara kita kekurangan pakar yang diperlukan seperti ahli psikiatri dan ahli psikologi kanak-kanak, serta doktor pakar perkembangan kanak-kanak (developmental paediatrician) untuk menjalankan penaksiran diagnostik, iaitu mengenal pasti apakah jenis kekurang upayaan yang dialami.
Kita juga kekurangan ahli-ahli terapi pertuturan, cara kerja dan fisio untuk menjalankan terapi-terapi yang diperlukan setelah diagnosis disahkan.
Ibu bapa yang ingin mendapatkan perkhidmatan diagnostik untuk anak mereka perlu menunggu lebih daripada 6 bulan untuk bertemu dengan doktor pakar di hospital kerajaan.
Manakala untuk terapi pertuturan dan cara kerja pula, kebanyakan anak-anak berkeperluan khas hanya mendapat perkhidmatan ini setiap sebulan sekali selama 45 minit.
Walhal mereka memerlukan perkhidmatan pada kadar yang lebih kerap.
Sebagai contoh, seorang anak yang mengalami autisme disarankan untuk mendapatkan intervensi awal yang intensif iaitu terapi sebanyak 25 jam seminggu.
Kekurangan pakar dan ahli terapi yang diperlukan adalah acute, manakala penghasilan tenaga ini adalah sangat sedikit.
Sebagai contoh,di Malaysia, hanya terdapat dua buah universiti yang menghasilkan ahli terapi pertuturan, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.
Namun setiap tahun, hanya 20 hingga 25 orang ahli terapi pertuturan sahaja yang dapat dihasilkan. Dan tidak semua graduan ini akan memasuki perkhidmatan awam.
Maka sehingga kini, klinik-klinik pertuturan dan komunikasi di hospital-hospital kerajaan masih mengalami kekurangan ahli terapi pertuturan.
Untuk menangani isu kekurangan ahli terapi ini, Malaysia perlu mengambil pendekatan baru dalam menyediakan perkhidmatan intervensi awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
Antaranya, mengambil pendekatan pendidikan dan bukan perubatan. Maknanya perkhimatan intervensi awal bukan lagi disediakan di klinik-klinik atau hospital, sebaliknya disediakan di pusat-pusat jagaan, taska-taska serta kelas-kelas prasekolah.
Ini bukanlah bermakna pengasuh-pengasuh serta guru-guru prasekolah perlu bertukar menjadi ahli intervensi.
Sebaliknya, mereka boleh diberikan latihan asas intervensi yang boleh melatih mereka untuk menjalankan terapi-terapi mudah yang diterapkan dalam rutin seharian.
Contohnya latihan ke tandas, kemahiran komunikasi menggunakan kad-kad gambar serta membentuk tingkah laku yang lebih baik.
Pendekatan pendidikan dalam intervensi awal juga tidak bermakna ahli-ahli terapi akan kehilangan pekerjaan.
Sebaliknya, cara bekerja mereka akan berubah. Mereka tidak lagi hanya menjalankan terapi secara 1-kepada-1 dengan anak berkeperluan khas.
Mereka akan melatih dan memberikan konsultansi kepada guru-guru taska serta prasekolah bagaimana untuk menjalankan terapi-terapi asas kepada murid berkeperluan khas yang belajar di dalam kelas mereka.
Dalam hal ini, kerajaan negeri Selangor telah maju setapak ke hadapan.
Mereka telah memulakan sebuah projek yang dikenali sebagai Program Anis (Anak Istimewa), di mana mereka telah bekerjasama dengan Pusat Permata Kurnia untuk melatih guru-guru taska dan tadika di negeri itu agar lebih bersedia untuk menerima kehadiran anak-anak berkeperluan khas di dalam kelas atau pusat mereka.
Terdapat ribuan anak-anak berkeperluan khas yang memerlukan perkhidmatan intervensi awal yang berkesan.
Adalah diharapkan sebuah perkhidmatan intervensi awal yang sistematik dan komprehensif dapat dibangunkan segera di negara kita bagi membantu mengelakkan daripada berlakunya lagi kes seperti yang saya kongsikan di atas.

* Prof Madya Dr Hasnah Toran merupakan Pengarah, Pusat Permata Kurnia.
** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.
#Dr Hasnah Toran #Malaysia #Polisi Sifar Penolakan #terapi #Zero Reject Policy
;