Perkhidmatan feri Langkawi ditambah susulan sambutan menggalakkan
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 14, 2021 11:19 MYT
Oktober 14, 2021 11:19 MYT
ALOR SETAR: Kebenaran rentas negeri membuka peluang pelbagai sektor ekonomi untuk kembali bernafas.
Syarikat Ferrylines Ventures Sdn Bhd menambah lima trip perjalanan ke Langkawi bermula Sabtu ini berikutan sambutan menggalakkan daripada pelancong.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pertambahan itu melibatkan tiga trip feri dari Terminal Feri Kuala Perlis dan dua trip dari Terminal Feri Kuala Kedah.
Katanya, pihaknya menjangkakan 3,000 pelancong menggunakan perkhidmatan feri penumpang ke pulau peranginan itu Sabtu ini.
"Kita dapati penumpang sudah mula membuat tempahan tiket feri ke Langkawi berikutan kelonggaran merentas negeri yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
"Malah, kita jangkakan penambahan pelancong akan terus berlaku dan akan merancakkan kembali sektor pelancongan ke Pulau Langkawi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Baharin berkata, prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dipatuhi penumpang, antara lain sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal ketika berada di terminal.
"Selain itu, pastikan semua pelancong yang hendak mengunjungi Langkawi lengkap dua dos suntikan vaksin dan lengkap tempoh matang selepas menerima suntikan dos kedua.
"Sekiranya ada individu yang tidak sihat dan mempunyai gejala COVID-19, kita nasihatkan tangguh dulu perjalanan dan jalani ujian pengesanan COVID-19, sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen, terlebih dahulu," katanya.
Baharin berkata, pihaknya bersedia untuk menambah jumlah feri sekiranya terdapat permintaan.