Perkhidmatan feri ke Langkawi kembali beroperasi, insiden feri terkandas disiasat
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 24, 2022 13:49 MYT
Oktober 24, 2022 13:49 MYT
ALOR SETAR: Jadual perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dan Langkawi ke Kuala Kedah berjalan seperti biasa hari ini.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, insiden feri dari Langkawi ke Kuala Kedah yang terkandas akibat air laut surut berlaku petang Ahad tidak menjejaskan operasi.
Menurutnya, terdapat lima trip perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi berjalan mengikut jadual bermula jam 9.30 pagi, 11 pagi, 1 tengah hari, 2 petang dan 3 petang.
“Manakala jadual perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah pula bermula jam 8 pagi, 10 pagi, 11 pagi, 12 tengahari dan 1 tengah hari.
"Pihak syarikat tidak menerima pembatalan tilet daripada penumpang baik pembelian melalui
atas talian ataupun pembelian fizikal di kaunter," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Baharin berkata, pergerakan feri berkapasiti membawa penumpang 450 hingga 600 orang bagi satu perjalanan.
Mengulas insiden berlaku semalam ketika itu paras air laut di muara Kuala Kedah melebihi 1.7 meter dan sememangnya boleh dilalui feri.
“Pihak syarikat masih melakukan siasatan sama ada kapten feri mengubah laluan kerana difahamkan ketika itu terdapat kapal sedang melakukan kerja-kerja pengorekan dan memasuki laluan feri.
“Saya merayu kepada pihak berkenaan supaya menyegerakan kerja mendalamkan alur pelayaran bagi memudahkan feri keluar dan masuk dari Terminal Feri Kuala Kedah seterusnya mengelak daripada insiden feri terkandas berulang,” katanya lagi.
Dalam kejadian jam 4.15 petang Ahad feri penumpang yang membawa 547 penumpang dan kru terkandas di posisi 1.2 batu nautika dari muara Kuala Kedah.