Perkhidmatan ETS Ekspres KL-Padang Besar dilancar
Israr Khalid
Julai 11, 2015 15:27 MYT
Julai 11, 2015 15:27 MYT
Di sebalik kekeliruan yang berlaku, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Ekspres Kuala Lumpur (KL)-Padang Besar oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilancarkan pada Sabtu.
Perjalanan pertama perkhidmatan ETS untuk jajaran itu berlepas dari stesen KL Sentral tepat 9.30 pagi dengan membawa kira-kira 80 orang penumpang.
Menurut Ketua Unit ETS, Azizullah Kinayatullah, segalanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekalutan pada perjalanan pertama perkhidmatan ekspres itu.
“Tren berlepas tepat pada masanya, pintu masuk dalam keadaan terkawal, penumpang juga masuk dan duduk di tempat duduk masing-masing dengan tertib. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik.
“Mengambil kira notis pendek yang dikeluarkan berhubung perkhidmatan ini, saya kira setakat ini pengguna dan penumpang memberi maklum balas yang sangat baik”, katanya ketika ditemui di KL Sentral.
ETS Ekpsres KL-Padang Besar sepatutnya dijadualkan untuk memulakan perkhidmatannya pada September, namun diawalkan atas permintaan tinggi oleh pengguna menjelang perayaan Aidilfitri.
Perkhidmatan kereta api elektrik itu sebagai menggantikan kereta api lama yang digerakkan oleh diesel, dilancarkan pada Ogos 2010 untuk jajaran KL-Ipoh.
Setakat ini, ETS jajaran KL-Ipoh mencatat jumlah purata penumpang sekitar 5000 orang setiap hari.
Dalam pada itu, Azizullah turut memberi jaminan bahawa ETS memberikan perkhidmatan yang lebih cepat, tepat dan selamat.
“Oleh kerana ia digerakkan tenaga elektrik, perjalanan menjadi lebih lancar, selesa dan lebih cepat jika dibandingkan dengan perjalanan menaiki tren jenis lama. Pencemaran udara juga dapat dikurangkan.
Tren jenis lama yang digerakkan diesel memakan masa kira-kira 12 jam untuk perjalanan KL-Padang Besar.
Dengan kelajuan 160 kilometer sejam, tren elektrik ini mampu mencatat masa perjalanan jauh lebih pendek iaitu kira-kira empat hingga ke lima jam sahaja.
“Kami juga jamin penumpang akan berlepas dan tiba ke destinasi masing-masing tepat pada waktu sepertimana yang dimaklumkan," ujarnya.
Selain itu katanya, ETS Ekspres turut menjanjikan pengalaman perjalanan yang berbeza kepada setiap penumpang.
“Keunikan perkhidmatan dalam ETS ini adalah wujudnya kru kabin sepertimana perkhidmatan pengangkutan udara.
“Setiap penumpang ETS Ekspres akan mendapat layanan kru kabin yang sedia membantu apa sahaja berkaitan perjalanan dan keadaan dalam gerabak bermula daripada penumpang masuk ke dalam tren sehinggalah mereka tiba ke destinasi masing-masing.
“Fasiliti yang disediakan seperti cafe mini, soket elektrik, tempat duduk boleh laras, skrin LCD yang menayangkan filem untuk hiburan penumpang selain persekitaran gerabak yang bersih turut melengkapkan perkhidmatan istimewa yang disediakan," katanya.
Dengan bermulanya operasi ETS Ekspres, pengguna tidak lagi perlu menukar tren di Ipoh dan kemudiannya Butterworth untuk ke stesen terakhir di utara iaitu stesen Padang Besar.
Perkhidmatan ETS Ekspres akan berjalan dua kali sehari dengan harga tiket RM80 untuk dewasa sementara RM40 untuk kanak-kanak bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis dan sebaliknya.
Projek landasan berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar bermula pada 2008 yang memakan belanja kira-kira RM13 bilion itu turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo.
KTMB turut merancang untuk memanjangkan laluan tersebut sehingga ke Johor Bahru.