Perkhidmatan e-hailing semakin pulih di LTSAAS
Ridauddin Daud
Mei 6, 2022 19:46 MYT
Mei 6, 2022 19:46 MYT
SUBANG: Perkhidmatan e-hailing terutamanya di Lapangan Terbang Sultan Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) difahamkan menghadapi masalah semalam sehingga terdapat aduan pelanggan sukar untuk mendapatkan pemandu.
Tatkala orang ramai sudah mula pulang ke kota bermula Jumaat dan dijangka lebih ramai pada Sabtu dan Ahad, gangguan terhadap perkhidmatan itu pastinya mengundang resah.
Adakah masih sukar untuk mendapatkan perkhidmatan e-hailing di sana atau keadaan sudah semakin pulih?
Tinjauan Astro AWANI pada Jumaat petang mendapati, secara keseluruhannya, keadaan di lapangan terbang tersebut boleh dikatakan sudah semakin pulih, tidak lagi seperti semalam.
Lebih tiga jam berada di sana, hampir setiap 10 minit, pasti akan hadir pemandu e-hailing, berhenti di checkpoint disediakan untuk mengambil penumpang.
Berdasarkan pemerhatian juga, lazimnya pelanggan akan menunggu sekitar lapan ke 10 minit sebelum pemandu e-hailing datang mengambil mereka.
Difahamkan, kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan itu berlaku pada Khamis dan disebabkan itu, ramai penumpang kemudian memilih untuk menggunakan teksi.
Jika semalam agak sibuk, hari ini, pemandu teksi lapangan terbang juga masih kelihatan sibuk mengambil penumpang di Balai Ketibaan, sama sibuknya dengan pemandu e-hailing.
Mereka yang ditemui ternyata gembira dengan keadaan itu dan menurut mereka, biasanya keadaan sebegitu terjadi apabila banyak kapal terbang menurunkan penumpang dalam satu masa yang sama.
"Grab kurang, mungkin kerana pemandu balik kampung api teksi OK, saya cuti dua hari saja. Alhamdulillah tahun ini dapat cuti, kalau tidak biasa tahun-tahun lepas tiada cuti.
"Semalam memang ramai, semalam saya dapat 10 kupon (perjalanan), hari ini baru dapat empat tapi kira laju jugalah sebab hari Jumaat.
"Biasa masa PKP dulu, satu atau dua kupon saja setiap hari tapi lepas 1 April (sempadan dibuka), Alhamdulillah, kapal terbang pun banyak turun," kata Bakar Omar, salah seorang pemandu teksi ditemui Astro AWANI.
Bagi seorang lagi pemandu teksi, Tengku Rohaizad Tengku Ismail, jumlah pelanggan dilihat sangat baik dalam dua ke tiga hari lepas.
"Teksi tak cukup lagi ada, banyak yang keluar, jadi kena menunggu. Kita tengok dari segi kapal terbang, berapa ramai orang dia bawa.
"Kalau dia bawa ramai penumpang, ia akan berpecah kepada lima bahagian. Kereta biasa, pemandu peribadi, Grab, kenderaan bajet dan teksi biru, jadi pecah kepada lima.
"Kalau ramai penumpang kapal terbang bawa, bermakna semua orang akan dapat giliran. Kalau sikit dia bawa, ciput-ciputlah, kena tunggulah. Dua tiga hari ini OK, so far so good…" katanya.
Tambi Chik Hassan, seorang lagi pemandu teksi pula mahu kerajaan memantau perkhidmatan e-hailing terutamanya dari aspek konsistensi harga.
"Bagi saya tiada masalah, Grab ke siapa, itu rezeki tapi kerajaan, tolong sikit. Kalau kerajaan tolong bantu kita pemandu teksi, bukan kita sahaja tapi semua teksi, semua akan dapat cari makan balik. Tapi kalau tiada konsisten (harga perkhidmatan e-hailing) seperti ini, memang masalah pada kita.
"Tolong sangat siapa-siapa yang terlibat dengan pengangkutan ini, do something laaa... Dengan siapa lagi kita nak mengadu, Kita tiada sifat iri hati tapi lakukanlah sesuatu untuk semua pemandu teksi," katanya.
Mereka juga meluahkan rasa syukur kerana selepas sempadan negara dibuka, pendapatan mereka semakin bertambah, tidak lagi terjejas teruk seperti dua tahun lepas.
#LTSAAS
#teksi
#grab
#pemandu
#Lapangan Terbang Sultan Sultan Abdul Aziz
#lapangan terbang Subang
#e-hailing