Perkhidmatan e-filing bagi Tahun Taksiran 2024 dibuka esok

Bernama
Februari 28, 2025 17:33 MYT
Pembayar cukai individu dan selain individu boleh mengemukakan Borang Nyata (BN) Tahun Saraan 2024 dan Tahun Taksiran 2024 melalui e-Filing mulai esok, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
PUTRAJAYA: Pembayar cukai individu dan selain individu boleh mengemukakan Borang Nyata (BN) Tahun Saraan 2024 dan Tahun Taksiran 2024 melalui e-Filing mulai esok, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
LHDN dalam kenyataan hari ini menyarankan pembayar cukai untuk menggunakan perkhidmatan e-Filing menerusi portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi LHDN https://www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing.
Ejen cukai pula hendaklah menggunakan platform Tax Agent e-filing System (TAeF) yang boleh diakses melalui portal MyTax untuk tujuan tersebut.
"Pembayar cukai hendaklah memastikan mereka telah mempunyai peranan di MyTax yang berkaitan bagi membolehkan pengemukaan BN melalui e-Filing.
"Pembayar cukai dinasihatkan membuat persediaan awal dengan mengumpulkan dokumen seperti penyata pendapatan, resit, invois dan lain-lain dokumen berkaitan cukai pendapatan untuk memfailkan BN Tahun Taksiran 2024," menurut kenyataan itu.
Sekiranya pembayar cukai terlupa kata laluan, LHDN menyarankan tindakan set semula kata laluan dengan log masuk ke portal MyTax > Pilih Jenis Pengenalan > No. Pengenalan > Hantar > Lupa Kata Laluan dan pilih medium set semula sebelum pautan untuk membina kata laluan baharu dihantar ke e-mel berdaftar pembayar cukai.
Maklumat lanjut berkenaan Program Menfail BN Bagi Tahun 2025 bagi versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris boleh dirujuk di portal rasmi LHDN atau pautan https://www.hasil.gov.my/media/agdmne4n/program-memfail-bn-bagitahun-2025.pdf dan https://www.hasil.gov.my/media/tvojk1ho/rf-filing-programme-for-2025.pdf.
-- BERNAMA
#e-filing #LHDN #Tahun Taksiran 2024 #pembayar cukai
;