Perkhidmatan DRT di Selangor tamat operasi berkuat kuasa hari ini

Sinar Harian
Julai 31, 2024 03:00 MYT
NG: Kerajaan negeri sedang memperhalusi kaedah yang bersesuaian dan berhemah supaya rakyat Selangor dapat terus menikmati kemudahan perkhidmatan DRT. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Projek Rintis Demand-Responsive Transit (DRT) Selangor melalui proses pembuktian konsep (POC) yang bermula pada 22 November tahun lalu sudah tamat berkuat kuasa pada Rabu.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, sepanjang tempoh itu, syarikat penyedia perkhidmatan DRT yang dilantik telah beroperasi di lapan zon ditetapkan bagi tujuan pengumpulan data penumpang dan tren penggunaan perkhidmatan DRT.
Menurut beliau, projek rintis berkenaan telah menerima maklum balas positif mengenai permintaan dan keperluan perkhidmatan itu sepanjang tempoh lapan bulan pelaksanaannya.
"Selain itu kerajaan negeri menerima permohonan untuk memperluaskan perkhidmatan DRT ini supaya dapat membantu agenda pemerkasaan pengangkutan awam di Negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, katanya, susulan penamatan projek rintis itu, kerajaan Selangor menggalakkan penyedia perkhidmatan DRT yang telah melaksanakan projek rintis di bawah program Selangor Mobility untuk meneruskan perkhidmatan DRT dengan mengekalkan kadar sama iaitu RM2 untuk satu perjalanan kepada orang awam di zon-zon sedia ada projek rintis tersebut sehingga Disember ini.
"Bagi tujuan ini, kerajaan negeri sedang memperhalusi kaedah yang bersesuaian dan berhemah supaya rakyat negeri Selangor dapat terus menikmati kemudahan perkhidmatan DRT," tambah beliau.
Justeru, katanya, pihaknya juga akan melaksanakan kajian terperinci terhadap dapatan pelaksanaan projek rintis tersebut.
"Kita juga akan membentangkan laporan kajian tersebut dan mencadangkan pelaksanaan penuh perkhidmatan DRT di negeri Selangor kepada pihak berkuasa negeri," ujar beliau.
Sebelum ini, kecoh berhubung pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) sebagai syarikat pengendali perkhidmatan DRT di Selangor.
Pelantikan Asia Mobility sebagai syarikat pengendali DRT dipertikai kerana dimiliki dan diuruskan oleh suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, selain persoalan sama ada pelantikan syarikat itu dilakukan sebagai tender terbuka.
Bagaimanapun, Sze Han dalam kenyataannya terdahulu memaklumkan, Asia Mobility dan sebuah syarikat lagi iaitu Badan Bas Coach Sdn Bhd dilantik berdasarkan kelulusan POC secara proses Request-for-Proposal (RfP). - Sinar Harian
#DRT Selangor #Ng Sze Han #tamat operasi #pengangkutan awam