Perkhidmatan bas Metro perlu lebih mesra OKU

Bernama
April 3, 2016 12:39 MYT
Menurut Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (DAMAI), V. Murugeswaran, sejak syarikat bas Metro mengambil alih beberapa laluan daripada syarikat bas RapidKL di ibu kota, golongan OKU kini terpaksa mencari alternatif lain. -Gambar fail
Perkhidmatan bas Metro diminta menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), kata Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (DAMAI), V. Murugeswaran.
Beliau berkata sejak syarikat bas itu mengambil alih beberapa laluan daripada syarikat bas RapidKL di ibu kota, golongan OKU kini terpaksa mencari alternatif lain.
"Misalnya di kawasan Taman Puchong Prima terdapat 50 OKU dan mereka terpaksa meminta ihsan jiran-jiran untuk menumpang kenderaan mereka atau mengambil teksi apabila mahu ke klinik atau hospital dan sebagainya," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau turut meminta agar Suruhanjaya Penangkutan Awam Darat (SPAD) mengenakan syarat kepada syarikat bas di negara ini supaya meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam untuk golongan OKU.
Seorang ahli DAMAI, D. Krishnamah, 56, mendakwa perkhidmatan bas Metro itu juga tidak mematuhi jadual perjalanan.
"Kami pernah menunggu bas hampir dua jam," dakwa Krisnamah.
Wakil bas Metro ketika ditemui Bernama enggan mengulas berhubung dakwaan itu.
Sebelum ini, SPAD melaksanakan penyusunan semula rangkaian perkhidmatan bas henti-henti di ibu kota bermula 1 Disember tahun lepas.
Di bawah penyusunan semula itu, rangkaian bas dibahagikan kepada lapan koridor iaitu Koridor Jalan Ipoh, Koridor Jalan Pahang, Koridor Ampang, Koridor Cheras, Koridor Sungai Besi, Koridor Klang Lama, Koridor Lebuhraya Persekutuan dan Koridor Damansara.
#OKU #SPAD #Suruhanjaya Penangkutan Awam Darat #V. Murugeswaran