Perkhidmatan bas ekspres ke Kapit, suburkan ekonomi rakyat setempat

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 4, 2022 19:45 MYT
Dengan siapnya projek pembinaan jalan raya menghubungkan Sibu ke Kapit sepanjang 101 kilometer pada Oktober 2020, keperluan kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Kapit khasnya telah meningkat. - Astro AWANI
KAPIT: Penduduk yang tinggal di laluan Sibu-Kapit-Song menarik nafas lega selepas beberapa syarikat bas ekspres melebarkan perkhidmatan mereka ke kawasan berkenaan sejak 1 Januari lalu.
Dengan siapnya projek pembinaan jalan raya menghubungkan Sibu ke Kapit sepanjang 101 kilometer pada Oktober 2020, keperluan kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Kapit khasnya telah meningkat.
Sebelum ini, penggunaan bot ekspres dan van sewa menjadi satu-satunya pengangkutan awam utama penduduk di Kapit dengan bayaran tambang hampir sama antara RM25 ke RM35.
Bagi Pemanca Kampung Baru, Abang Hamzah Abang Bolhassan, selama 70 tahun membesar di Kapit, impiannya untuk melihat adanya perkhidmatan bas di pekan itu akhirnya tercapai.
“Saya sekarang umur 70 tahun, selama ini masyarakat di sini menanti-nantikan perkhidmatan seperti ini diwujudkan untuk penduduk di Kapit, akhirnya tercapai jua impian kami.
“Kita bersyukur, pembinaan jalan raya ini telah memastikan pembangunan dan perhubungan ke Kapit dilaksanakan secara progresif dengan meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk antara daerah,” katanya kepada Astro Awani.
BACA: PRN Sarawak: Sudah ada perancangan wujudkan terminal bas di Kapit
Selain itu bagi Stanley Davey Ujoh, perkhidmatan bas itu memudahkan penduduk di pedalaman yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke Sibu selain harga tambang yang dikenakan juga berpatutan.
“Mereka yang tinggal di pedalaman Kapit ramai yang tidak memiliki kenderaan, maka bas awam ini akan memudahkan mereka bergerak ke Sibu kerana tambang RM22 yang dikenakan juga berpatutan dan tidak membebankan.
“Penduduk dari rumah panjang boleh membawa hasil tanaman atau tangkapan ikan lebih banyak ke Sibu daripada menggunakan van yang agak terhad dari segi muatan,” katanya.
Sementara itu, Jenny Tawan yang bekerja sebagai penghantar barang atau runner di pekan Kapit percaya permintaan khidmat penghantaran barangan akan bertambah jika pengoperasian bas awam itu ditingkatkan.
Jelasnya, penduduk di Sibu khususnya akan lebih mudah untuk membuat kiriman ke Kapit atau Song selain menggunakan khidmat van kiriman yang sedia ada berpangkalan di Terminal Bas Sibu.
“Kebiasaannya para penghantar barangan di Kapit akan mengambil barangan kiriman melalui khidmat van yang sedia ada, tidak mustahil jika perkhidmatan bas ini bertambah atau kekerapan perjalananya ditingkatkan, akan lebih mudah masyarakat di Kapit atau Sibu berurusan terutama usahawan yang berniaga secara dalam talian.
“Maka kami pun yang menjadi penghantar barang akan ada rezeki lebih dengan keperluan khidmat penghantaran ini selain membuka peluang pekerjaan kepada anak muda juga sebagai 'runner' di Kapit atau Song,” katanya.
Beberapa jadual perjalanan harian ditetapkan bermula seawal pukul 7 pagi, 11 pagi dan 3 petang, pada kadar tambang RM22 seorang untuk perjalanan sehala.
Manakala syarikat Kapit Bus Express dijangka memulakan operasi pada 20 Januari depan dengan lapan bas disediakan untuk laluan Sibu-Kapit dengan lapan masa perjalanan mengikut kadar tambang yang sama.
#Bas Ekspres Kapit #perkhidmatan bas ekspres #Kapit #pengangkutan awam
;