Perkhidmatan awam perlu beradaptasi mengikut keperluan ekonomi, rakyat – Dr Zaliha
Bernama
Februari 6, 2025 14:50 MYT
Februari 6, 2025 14:50 MYT
Dr Zaliha (dua,kiri) ketika sidang media pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Putrajaya 2025 (POD2025) di Dewan Seri Siantan, Presint 3, hari ini.- Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perkhidmatan awam perlu sentiasa beradaptasi dengan landskap ekonomi yang berubah serta keperluan rakyat yang semakin kompleks, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Ringkasan AI
- Perkhidmatan awam perlu lebih responsif dan inovatif untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin kompleks dan landskap ekonomi yang berubah.
- Menekankan pentingnya budaya kerja yang terbuka dan kolaboratif untuk meningkatkan perkongsian maklumat dan kecekapan operasi.
- Kerajaan giat membangunkan semula Pasar Datuk Keramat, memfokuskan pembangunan sektor pelancongan di Labuan, dan mencapai status Bandar Pintar Berwawasan di Putrajaya menjelang 2030.
Beliau berkata seiring tuntutan zaman, sistem perkhidmatan awam perlu lebih responsif serta inovatif bagi memastikan penyampaian terbaik kepada rakyat.
Beliau turut menekankan pentingnya pemerkasaan budaya kerja yang lebih terbuka dan kolaboratif bagi mengelakkan amalan kerja secara bersendirian (in-silo) yang boleh menjejaskan perkongsian maklumat serta kecekapan operasi.
"Dengan tekad politik, saya yakin kita akan dapat terus melangkah ke hadapan dan melaksanakan perkara-perkara yang sepatutnya kita laksanakan," katanya ketika berucap pada perasmian Karnival Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2025 (POD2025) di sini hari ini.
Dr Zaliha dalam ucapannya turut menggariskan usaha kerajaan bagi menangani isu legasi di Wilayah Persekutan tahun ini.
Beliau berkata antara contoh, pihaknya kini giat membangunkan semula Pasar Datuk Keramat di Kuala Lumpur yang uzur bagi memastikan kesejahteraan peniaga dan komuniti setempat.
Sementara di Labuan, Dr Zaliha berkata perhatian khusus diberikan untuk membangunkan sektor pelancongan sebagai alternatif kepada industri minyak dan gas.
Bagi Putrajaya pula beliau berkata fokus kini beralih kepada mencapai status Bandar Pintar Berwawasan menjelang 2030 selepas merealisasikan matlamat bandar pintar (leading smart city).
"Visi ini memerlukan reformasi menyeluruh dalam penyampaian perkhidmatan awam agar lebih efisien dan berinovasi," katanya.
Mengulas mengenai Karnival Wilayah Persekutuan dan POD2025, Dr Zaliha berkata program selama empat hari itu merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam membawa perkhidmatan terus kepada rakyat.
Beliau berkata seramai 100,000 pengunjung dijangka sepanjang program dengan lebih 450 vendor dan pempamer mengambil bahagian.
"Saya yakin ini akan memberi impak yang besar kepada rakyat. Penganjuran POD pada dua tahun terakhir telah berjaya menjana pulangan pelaburan (ROI) yang memberangsangkan dengan kutipan keseluruhan mencecah RM15 juta," katanya.
-- BERNAMA