Perkhidmatan aerotrain di KLIA kini mula beroperasi
Astro Awani
Mei 27, 2016 10:13 MYT
Mei 27, 2016 10:13 MYT
Salah sebuah keretapi pengangkut penumpang aerotrain di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) yang dilaporkan mengalami kerosakan, kembali beroperasi pada jam 10.38 pagi tadi.
Jurucakap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyatakan, perkhidmatan bas juga telah disediakan bagi menangani insiden berkenaan.
“Masalah kesesakan yang berlaku telah diselesaikan pada jam 10.15 pagi tadi. Perkhidmatan bas juga telah diteruskan, walaupun salah sebuah kereta api yang terbabit telah kembali beroperasi. Kami memohon maaf kepada pengguna berhubung kesulitan yang dihadapi,” kata pegawai MAHB kepada Berrnama.
Dalam satu kenyataan di Facebook, MAHB menyatakan perkhidmatan aerotrain yang menghubungkan terminal utama dan bangunan satelit itu terganggu disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Sila ke kaunter kami jika anda memerlukan bantuan. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” kata MAHB.
Sebelum ini, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa kemarahan berikutan kerosakan dua buah Aerotrain di KLIA pada jam kira-kira 8 pagi.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataannya di Twitter pada jam 9.02 pagi turut berkata “ramai penumpang terkandas di balai ketibaan KLIA berikutan kerosakan keretapi Aerotrain. MAHB dan menteri-menteri tolong lakukan sesuatu”.
Penumpang terkandas, eerotrain dihenti sementara pada 8 April yang lalu