Perkhemahan lima sahabat bertukar tragedi apabila 2 lemas di Sungai Dungun
Nur Fazlizai Ali
Mac 5, 2021 04:44 MYT
Mac 5, 2021 04:44 MYT
DUNGUN: Dua sahabat meninggal dunia setelah lemas ketika mandi di Sungai Dungun berhampiran Kampung Minda Talong, di sini, pada Jumaat.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Subree Ahmad Tajuddin, 38, dan Ariff Razali, 34.
Mereka dilapor datang ke kawasan sungai tersebut bersama tiga lagi rakan untuk berkhemah sempena cuti umum pada Khamis.
Menurut rakan mangsa Aris Adam, ketika kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, kedua-kedua mangsa bersama seorang lagi rakan sedang mandi di tengah sungai, manakala dia hanya mandi di tempat yang cetek kerana tidak pandai berenang.
Menurutnya, tidak lama kemudian dia melihat kedua-dua rakannya itu dihanyutkan arus ke sebuah lubuk berhampiran menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan diri sebelum ditarik oleh arus ke dasar sungai.
"Dia berenang di sana nak ke sini, dalam air lah. Bila sampai sana, air paras lutut, tapi dia punya arus laju.
"Macam saya dan seorang lagi kawan memang tak pandai berenang, jadi kami keluarlah, jalan tepi sungai saja.
"Semasa mereka ambil video guna GoPro di border tu, masa itulah mereka lost control," kata Aris.
Mayat Mohd Subree ditemui terapung pada jarak 10 meter dari lokasi kejadian pada jam 9.45 pagi, manakala mayat Ariff Razali ditemui di dasar sungai pada jam 1.27 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan kekuatan seramai 33 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah serta pihak polis dan turut dibantu oleh penduduk kampung.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan urusan pengebumian.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 petang.
#lemas
#Sungai Dungun
#Kampung Minda Talong
#Mohd Subree Ahmad Tajuddin
#Ariff Razali
#berkhemah
#perkhemahan bertukar tragedi
#Baharudin Abdullah
#PDPA