Perketat SOP: Tiada Istilah tutup ekonomi

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, Heizlyn Amyneina Hamzah
Februari 3, 2021 03:22 MYT
Selain daripada permintaan, perlu difahami bahawa ekonomi bekerja sebagai sebuah sistem interaksi yang mana setiap sektor bergantung dengan sektor-sektor lain. -Gambar hiasan
PENUTUPAN ekonomi bermakna tiada aktiviti ekonomi yang beroperasi dan bermakna tiada juga permintaan dan penjanaan pendapatan.
Di dalam ekonomi, istilah penutupan ekonomi hanya relevan jika tiada permintaan ke atas barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sesebuah industri atau sektor ekonomi.
Di dalam konteks pengurusan ekonomi di kala pandemik COVID-19, permintaan barangan dan perkhidmatan wujud dan masih wujud, jadi istilah penutupan ekonomi tidak relevan.
Selain daripada permintaan, perlu difahami bahawa ekonomi bekerja sebagai sebuah sistem interaksi yang mana setiap sektor bergantung dengan sektor-sektor lain.
Maka penutupan ekonomi akan memutuskan rantaian bekalan kepada sektor ekonomi yang dibuka dan seterusnya boleh memberi implikasi kepada harga.
Jika SOP kebenaran beroperasi hanya terpakai kepada sektor-sektor ekonomi yang menyediakan barangan dan perkhidmatan asas sahaja, maka perlu diketahui tahap kapasiti pengeluaran sektor-sektor bukan di bawah kategori barangan dan pekhidmatan asas.
Hal ini kerana kedua-dua kumpulan sektor ekonomi ini masih bergantung di antara satu dengan yang lain.
Rajah di bawah menunjukkan kesalingbergantungan bagi kes sektor pembuatan makanan dan minuman (F&B) dengan 123 sektor-sektor lain dalam ekonomi Malaysia.
Ia jelas menunjukkan sektor-sektor lain perlu beroperasi untuk memastikan pengeluaran F&B tidak terganggu.
Di dalam kes ini, kapasiti pengeluaran sektor-sektor lain untuk menyokong pengeluaran F&B adalah berbeza-beza.
Untuk lebih memahami, perhatikan contoh mudah ini.
Pengeluaran roti memerlukan bahan-bahan mentah seperti tepung, telur, coklat, gula, garam, minyak, pembungkus kertas dan plastik, air dan perkhidmatan penghantaran, yang mana bekalan bahan mentah ini diperolehi dan dikeluarkan oleh sektor-sektor berbeza.
Mesej yang ingin dibawakan oleh Rajah di atas adalah jelas iaitu SOP yang dirangka perlu lah membenarkan kedua-dua kumpulan sektor ekonomi iaitu asas dan bukan-asas, beroperasi.
Bagi sektor-sektor ekonomi bukan-asas, kapasiti operasi mereka boleh dihadkan tetapi kena mengambil kira sumbangan bekalan mereka kepada pengeluaran sektor ekonomi asas.

Prof. Madya Dr. Mohd Yusof Saari dan Heizlyn Amyneina Hamzah adalah Ketua Ekonomi dan Penyelidik Ekonomi di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), PERKESO.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#penutupan ekonomi #tiada aktiviti ekonomi #penjanaan pendapatan #pengurusan ekonomi #permintaan barangan #rantaian bekalan #kapasiti pengeluaran