Perketat SOP di PPV mega - Khairy

Bernama
Julai 31, 2021 05:27 MYT
Khairy berkata selain aspek penjarakan masa dan fizikal, pihaknya juga berusaha mempercepatkan proses vaksinasi individu di dalam PPV. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemberian vaksin (PPV) terutamanya yang berskala mega akan diperketat dan ditingkatkan bagi mengurangkan risiko lokasi itu menjadi tempat penularan jangkitan COVID-19.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata selain aspek penjarakan masa dan fizikal, pihaknya juga berusaha mempercepatkan proses vaksinasi individu di dalam PPV, antaranya menerusi ciri baharu aplikasi MySejahtera iaitu borang persetujuan digital.
Menerusi pengenalan ciri baharu itu, Khairy berkata penerima vaksin tidak perlu lagi mengisi borang secara manual, sekali gus membantu melancarkan proses vaksinasi, menjimatkan masa serta mengurangkan risiko penularan COVID-19.
"Di Lembah Klang, dalam keadaan jangkitan menular secara sporadik, susah kita memastikan bahawa punca itu di tempat-tempat tertentu terutama di PPV, malah saya sedang melihat isu ini untuk kita pastikan SOP kita di PPV mega dapat diperketat dan ditingkatkan tiap-tiap hari.
"Menerusi pendekatan-pendekatan seperti itu dan mempercepatkan proses vakinasi, saya difahamkan sekarang ini untuk dos kedua sebagai contoh, 20 minit masuk, lepas itu dengan tempoh pemerhatian 20 minit, selesai, ini akan mengurangkan masa kita berada di dalam PPV," katanya.
PICK | SOP di PPV Mega ditambah baik
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program 'Janji Temu Bersama Ras: Tangani Pandemik COVID-19 Bersama' terbitan Bernama TV yang dihoskan Senator Datuk Ras Adiba Radzi malam tadi.
#Khairy Jamaluddin #PPV #PPV mega #SOP #penularan #COVID-19 #MySejahtera #vaksin
;