Perketat kawalan keselamatan di kondominium tinggi - MCPF

Bernama
April 19, 2016 08:34 MYT
Lee (gambar) menggesa pengawal keselamatan di kawasan kondominium supaya lebih berwaspada dan sentiasa mengesan pengunjung atau penghuni yang mencurigakan. -Gambar fail
Kawalan keselamatan di bangunan kondominium tinggi perlu diperketatkan berikutan penemuan tujuh bom buatan sendiri di sebuah unit kondominium di Damansara Perdana di sini semalam.
Naib pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata pihak pengurusan kondominium perlu mengutamakan aspek keselamatan memandangkan kediaman seperti itu mempunyai kadar kepadatan penduduk yang tinggi.
"Kalaulah polis tidak bertindak pantas menyerbu unit kondominium di Damansara Perdana itu dan mengalihkan beberapa bahan letupan yang terdapat di dalamnya, pelbagai kemungkinan buruk boleh berlaku.
"Memandangkan bangunan tinggi seperti itu didiami banyak penghuni, kesannya juga adalah besar," kata Lee dalam kenyataan pada Isnin.
Lebih 200 penghuni kondominium itu terkejut dengan penemuan bom berkenaan pada pagi semalam, sebelum polis mengalihkannya ke kawasan lapang berhampiran untuk dimusnahkan.
Sementara itu, Lee menggesa pengawal keselamatan di kawasan kondominium supaya lebih berwaspada dan sentiasa mengesan pengunjung atau penghuni yang mencurigakan.
"Di kompleks kondominium Damansara Perdana itu, suspek menyewa unit berkenaan dan jiran mereka tidak sedar yang mereka membuat bom atau menyimpan dadah di unit itu.
"Ini membawa kepada isu unit yang disewakan, di mana sesetengah pemilik tidak menapis latar belakang penyewa dengan sewajarnya sebelum menyewakan unit kondominium atau pangsapuri mereka," katanya.
Menurutnya pemilik rumah perlu menyediakan perjanjian sewaan dengan memasukkan larangan bagi penyewa melakukan aktiviti jenayah dan berbahaya.
Lee berkata perkara itu tidak harus dipandang ringan kerana kejadian tidak diingini di kawasan kondominium seperti letupan bom boleh membawa akibat yang dahsyat.
Polis kini memburu dua suspek kejadian itu, seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Ah Chong, 37, dan seorang wanita berumur 39 tahun, yang dipercayai pengedar dadah.
#Lee Lam Thye #MCPF #pengurusan kondominium #tujuh bom buatan sendiri #Yayasan Pencegahan Jenayah
;