Perkeso tubuh badan bertindak khas siasat tuntutan berkaitan COVID-19
Bernama
Januari 8, 2021 14:22 MYT
Januari 8, 2021 14:22 MYT
ALOR SETAR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menubuhkan badan bertindak khas untuk menyiasat tuntutan di bawah Skim Bencana Kerja Perkeso berkaitan COVID-19 bagi mempercepat urusan bayaran kepada mereka yang terlibat.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata kesemua permohonan pencarum dijangkiti wabak itu semasa bertugas akan diproses secepat mungkin dan tempoh maksimum yang diambil PERKESO adalah selama 45 hari daripada tarikh kes diterima.
"Kita tubuhkan kumpulan prihatin untuk menyelesaikan masalah ini, task force (pasukan petugas) khusus untuk menyiasat dan mempercepatkan proses pembayaran.
"Jika permohonan itu memenuhi semua syarat Perkeso, kita akan tunaikan secepat mungkin...selesai proses hari ini, esok pun boleh bayar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kedah di sini, hari ini.
Menurutnya kes yang diterima sebagai bencana kerja adalah bagi pencarum yang disahkan terkena jangkitan COVID-19 di tempat kerja.
Awang berkata bagi kes yang disahkan dijangkiti daripada keluarga, jangkitan sosial dan tidak positif COVID-19 (kontak rapat), permohonan akan ditolak.
Menerusi skim itu, kesemua pencarum terbabit dibayar sebanyak 90 peratus daripada gaji mereka mengikut jumlah hari mereka dirawat di hospital sehingga mereka disahkan negatif virus berkenaan.
Sementara itu, Awang memberitahu Perkeso menerima sebanyak 376 permohonan skim bencana kerja berkaitan COVID-19 pada tahun lepas dan daripada jumlah itu sebanyak 129 kes telah diluluskan.
"Sebanyak 42 kes ditolak manakala 205 lagi masih dalam siasatan dan jumlah bayaran yang sudah dibuat setakat ini adalah lebih RM216,000," katanya.
-- BERNAMA
#perkeso
#COVID-19
#Awang Hashim
#Perkeso Alor Setar
#skim pembayaran
#keselamatan
#jaringan sosial
#vaksin COVID-19
#pencarum perkeso