Perkeso tidak lindungi pekerja sertai perhimpunan Bersih 4.0

Bernama
Ogos 28, 2015 17:39 MYT
ISMAIL: Jika mereka sengaja menyertai perhimpunan haram itu, Perkeso tidak akan melindunginya walaupun berada dalam waktu bekerja. Foto AWANI
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak akan melindungi pekerja yang ditimpa kemalangan ketika menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan esok dan Ahad ini di ibu negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata perhimpunan tersebut telah pun diharamkan oleh pihak polis dan menjadi satu kesalahan jika ada pekerja yang didapati menyertainya secara sukarela.
"Berdasarkan undang-undang yang ditetapkan, Perkeso hanya melindungi pekerja yang terbabit dalam kemalangan ketika bekerja selain ditimpa kecelakaan dalam perjalanan pergi serta pulang ke tempat kerja masing-masing.
"Melainkan jika mereka ditugaskan atau terperangkap dalam perhimpunan, itu kita akan lihat menerusi akta Perkeso.
"Jika mereka sengaja menyertai perhimpunan haram itu, Perkeso tidak akan melindunginya walaupun berada dalam waktu bekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada bakal jemaah haji, pelajar yang akan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan bantuan cermin mata kepada pelajar miskin serta warga emas dalam Parlimen Maran di sini hari ini.
Ismail dalam pada itu turut menegaskan pihak kementerian juga akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan kementerian tersebut yang didapati menyertai perhimpunan haram berkenaan.
"Saya nasihatkan kepada semua jangan sertai perhimpunan itu...banyak lagi perkara berfaedah yang boleh dilakukan," katanya.
Dalam pada itu mengulas mengenai isu pemberhentian 300 pekerja Naza Automotive Manufacturing di Gurun, Kedah yang tersebar di laman sosial, Ismail berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berhubung perkara itu.
"Kami akan teliti dahulu laporan mengenainya (sebaik laporan diterima) dan akan ambil tindakan sewajarnya kepada pekerja yang diberhentikan itu.
"Kebiasaannya pihak kementerian akan membantu mereka dengan menambah kemahiran baharu menerusi kursus tertentu bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan semula," katanya.
#Bersih 4.0 #Ismail Abdul Muttalib #kemalangan #perhimpunan #perkeso
;