PERKESO sasar 552 sekolah sertai ‘MYFuturejobs Career Exploration Programme’

Bernama
Mei 21, 2024 06:45 MYT
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan sekurang-kurangnya 552 sekolah pelbagai aliran di seluruh negara menyertai MYFutureJobs Career Exploration Programme (CEP). - Gambar facebook PERKESO
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan sekurang-kurangnya 552 sekolah pelbagai aliran di seluruh negara menyertai MYFutureJobs Career Exploration Programme (CEP).
Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, program ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif murni bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah atas dalam memberi panduan hala tuju kerjaya kepada mereka sesuai dengan pasaran kerja semasa berdasarkan minat dan kemahiran yang dimiliki.
Katanya ,sejak ia diperkenal pada tahun lepas hingga 30 April tahun ini, lebih 9,500 pelajar sekolah menengah telah menyertai CEP.
"CEP membuka pintu minda para pelajar dalam membuat pilihan bidang pengajian serta hala tuju kerjaya setelah tamat pengajian selain mewujudkan kesedaran terhadap potensi diri.
"Ini sekali gus berupaya mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan yang telah dicungkil secara proaktif, kreatif serta inovatif dalam pemilihan institusi pendidikan sekali gus boleh membantu pelapis generasi hadapan ini dalam urusan pemilihan kerjaya demi masa hadapan mereka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Subahan berkata, berdasarkan perangkaan PERKESO, sejak Mei tahun lepas hingga 30 April tahun ini, sebanyak 96 buah sekolah merangkumi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak dan Pahang telah menyertai program ini.
Katanya, berdasarkan rekod kadar ketidakpadanan pekerjaan graduan mencatatkan penurunan signifikan kepada 18.2 peratus pada 2023 berbanding 40.5 peratus tahun sebelumnya.
"Program CEP ini dilihat signifikan serta berupaya untuk turut sama menyumbang kepada penciptaan potensi dan keupayaan pelajar sekali gus memberi harapan kepada pelapis baharu negara untuk merancakkan lagi pasaran buruh dan membantu perkembangan ekonomi Malaysia," katanya. - BERNAMA
#perkeso #hala tuju kerjaya #CEP #MYFutureJobs Career Exploration Programme
;