PERKESO perkasa program Rawatan Bencana Kerja, manfaatkan pencarum Akta 4
Amzar Alif
Februari 25, 2025 18:26 MYT
Februari 25, 2025 18:26 MYT
Mohammed Azman bersama Subahan melakukan lawatan ke reruai yang dipamerkan pada program Pekerja Selamat dan Sihat di pelabuhan Klang. - Foto PERKERSO
KLANG: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkasa Program Rawatan Bencana Kerja (RBK) bagi memudahkan urusan serta meringankan beban pencarum yang mengalami kemalangan di tempat kerja.
Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, melalui program itu, pencarum yang cedera akibat kemalangan di tempat kerja boleh mendapatkan rawatan tanpa perlu mendahulukan wang sendiri di 1,448 klinik panel PERKESO yang berdaftar.
Beliau berkata, pemerkasaan proses ini melibatkan faedah perubatan bagi pencarum di bawah Skim Bencana Kerja mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
"Jenis kecederaan yang ditanggung di bawah program ini termasuk rawatan kecemasan bagi pekerja yang mengalami kemalangan di tempat kerja, selain rawatan klinikal, konsultasi, rujukan dan pemeriksaan X-ray," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program turun padang Pekerja Selamat dan Sihat di Pelabuhan Klang pada Selasa.
Turut hadir dalam program yang dihadiri 700 pekerja itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengurus Besar Westports Malaysia Sdn Bhd, M Nanthakumar.
Program berkenaan turut mencakupi pameran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), SEHATi, Vision Zero, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Dalam pada itu, Subahan berkata, penyediaan program RBK melalui platform SEHATi membolehkan klinik panel PERKESO menyemak kelayakan dan memberikan rawatan asas kepada pencarum bagi kecederaan akibat kemalangan di tempat kerja.
Malah, katanya, pencarum boleh menyemak sendiri kelayakan menerusi SEHATi yang boleh diakses secara dalam talian, mendapatkan senarai klinik panel PERKESO dan membuat janji temu untuk rawatan susulan.
“Kami juga berharap lebih ramai majikan akan tampil bekerjasama rapat dengan kami.
“Seperti yang anda tahu, hari ini kami mempunyai banyak program lain yang memberi pendidikan tentang betapa pentingnya perlindungan sosial dan kepentingan mereka untuk menyumbang kepada PERKESO,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohammed Azman mendedahkan bahawa 86,529 kes kemalangan dilaporkan kepada PERKESO sepanjang 2024, namun hanya 66,574 kes disahkan sebagai bencana kerja.
Selebihnya, iaitu 19,955 kes, dikategorikan sebagai bukan bencana kerja dan tidak layak menerima sebarang manfaat perlindungan di bawah Akta 4.
Statistik PDRM pula merekodkan 532,125 kemalangan jalan raya pada 2024, dengan 5,364 daripadanya melibatkan kematian.
Begitupun, hanya 35,142 kes atau 6.6 peratus, termasuk 886 kematian, layak mendapat faedah serta sokongan pemulihan daripada PERKESO.
“Kalau kita lihat dari segi kematian sebanyak 886 kematian, jadi maknanya setiap hari tiga orang keluar daripada rumah tidak akan balik semula ke rumah. Jadi itu adalah statistik sedia ada.
"Angka ini menunjukkan selain kemalangan di tempat kerja, pencarum PERKESO juga memerlukan skim perlindungan sosial 24 jam bagi kemalangan bukan bencana kerja demi memastikan kebajikan mereka terus terjamin," ujarnya.
#perkeso
#Program Rawatan Bencana Kerja RBK
#Datuk Seri Subahan Kamal
#Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed
#Akta 4
#perlindungan pekerja