Perkeso lancar Ops Kesan Pekerja Asing 2024 di seluruh negara
Bernama
November 1, 2024 20:15 MYT
November 1, 2024 20:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini melancarkan Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Pekerja Asing 2024 secara serentak, melibatkan 54 pejabat Perkeso di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata Ops Kesan Pekerja Asing 2024 julung kali dilaksanakan bagi mengesan majikan yang gagal mendaftar dan mencarum pekerja asing termasuk ekspatriat serta pekerja domestik yang layak di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
"Sehingga 30 Sept lepas, data Perkeso menunjukkan hanya sekitar 88 peratus pekerja asing di Malaysia telah mendaftar dengan pertubuhan ini. Lebih membimbangkan dalam kalangan pekerja domestik asing, kadar pendaftaran mencapai 59 peratus sahaja, sekali gus membuktikan langkah penguatkuasaan yang diambil adalah tepat pada masanya.
"Perangkaan tersebut menunjukkan masih ada pekerja asing yang tidak memiliki sebarang perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlakunya kemalangan atau kecederaan yang tidak terjangka sepanjang tempoh bekerja di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pendaftaran dan caruman Perkeso bukan bertujuan membebankan majikan, sebaliknya untuk menjamin hak pekerja asing mendapat perlindungan keselamatan sosial mengikut piawaian antarabangsa.
Selain itu, beliau berkata isu sampingan yang kerap berlaku semasa siasatan adalah penyalahgunaan pas kerja dalam kalangan pekerja asing semakin berleluasa, mengakibatkan pekerja asing yang ditimpa bencana kemalangan atau kecederaan tidak layak menerima perlindungan keselamatan sosial yang selayaknya di bawah faedah Perkeso.
Mohammed Azman berkata kesalahan gagal atau lewat mendaftar perusahaan atau pekerja boleh mengakibatkan pemilik perusahaan dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
-- BERNAMA